Tersenarai dalam skuad Harimau Malaya, Azam Azih mahu balas kepercayaan yang diberikan Kim Pan-gon
Pemain tengah kebangsaan, Nor Azam Azih bersyukur apabila mendapat kepercayaan daripada ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon dan bertekad mahu membalas kepercayaan yang diberikan dengan memberi aksi terbaik dan bantu pasukan peroleh keputusan positif.
Azam berkata demikian apabila beliau dipanggil untuk sertai kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Syria dan China pada 6 dan 9 September ini di Chengdu, China.
“Alhamdulillah panggilan kali ini Kim Pan-gon panggil saya semula selepas pulih dari kecederaan sebanyak tiga kali ketika beraksi bersama Sri Pahang FC yang telah membuatkan saya hilang keyakinan untuk bermain.
Tahun ini saya rasa adalah tahun yang paling down dan ia memberi kesan kepada aksi saya di atas padang dek kecederaan yang dialami, tapi sekarang Alhamdulillah coach bagi peluang sekali lagi.
InsyaAllah jika diberi peluang untuk bermain nanti, saya akan berikan yang terbaik untuk bantu pasukan,”
katanya.
Menurut Azam lagi, beliau mengakui peluang untuknya turun beraksi tetap ada walaupun terpaksa bersaing sengit dengan ramai pemain-pemain tengah berkualiti yang berada dalam skuad negara ketika ini.
“Ya, untuk panggilan kali ini saya mahu buktikan yang saya mampu berada di tahap tinggi dan konsisten.”
Pemain berusia 28 tahun itu mengakui kekuatan pasukan Syria dan China, tapi beliau yakin bahawa skuad negara mampu memperoleh keputusan positif dalam kedua-dua perlawanan itu nanti.
Dalam pada itu, Azam juga memberitahu bahawa beliau kini sudah semakin serasi dan dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan dan taktikal Pan-gon.
“Mula-mula memang saya bergelut untuk ikut taktikal coach sebab latihan pasukan kebangsaan memang berbeza tapi kini Alhamdulillah saya sudah boleh ikut intensiti latihan dan permainan pasukan.”
Sementara itu, Azam yang kini semakin cergas berkata prestasinya kini berada pada tahap 80% ke 90% dan terus tingkatkan prestasi untuk kembali ke tahap sebenarnya.