Sokongan dari MSN tak cukup, kekurangan program latihan faktor kami gagal ke kelayakan Piala Dunia – Balqis & Diyanah
Pemain bola jaring kebangsaan, Puteri Intan Balqis dan Nordiyanah akui kekurangan program latihan yang mantap serta sokongan daripada Majlis Sukan Negara membuatkan mereka terlepas tiket ke kelayakan Piala Dunia bola jaring.
Sukan bola jaring sememangnya bukan sayu sukan yang asing dalam kalangan atlet wanita namun siapa sangka kejayaan demi kejayaan yang diraih saban tahun dilitupi kisah pahit yang tidak didengari pihak berkaitan.
Menurut Balqis dan Diyanah sendiri sekiranya mereka mendapat sokongan padu daripada MSN dari segi persediaan dan program latihan yang teratur ia akan memberikan tonik buat meningkatkan moral serta prestasi atlet itu sendiri.
“Kami perlukan sokongan daripada MSN baik dari segi program latihan dan juga fisioterapi misalnya, jadi dari situ kami dapat tingkatkan prestasi untuk melangkah lebih jauh kerana bila kita bergerak sendiri banyak kekangan yang perlu dilalui,”
Katanya kepada Harimau Malaya.
Meskipun sukan ini kurang mendapat perhatian umum namun skuad bola jaring negara acap kali membawa pulang pingat bagi kejohanan yang disertai seperti Sukan Sea dan sukan di bawah kelolaan World Netball Federation (WNF).
“Kami bukan sukan yang tercorot dan setiap kali ke kejohanan mana-mana memang akan bawa pulang pingat sekurang-kurangnya tempat ketiga memang dalam genggaman,”
Peruntukan dan program latihan buat skuad bola jaring negara telah disediakan oleh MSN namun ia tidak cukup untuk memastikan para atlet berada dalam tahap kesediaan yang tinggi bagi mengharungi cabaran terutama di peringkat yang tertinggi seperti Kejohanan Asia dan kelayakan Piala dunia.
“Sokongan dari MSN itu ada tapi tak cukup kerana boleh kita lihat dalam sebulan kami cuma ada seminggu latihan dan itu mungkin kekurangan yang menyebabkan kita kurang persediaan sekaligus gagal di Asian Netball Championship dan kita juga terlepas tiket ke kelayakan Piala Dunia,”
Bagi kedua-dua pemain ini juga, bola jaring dikatakan seharusnya mendapat perhatian yang khusus daripada MSN bagi memastikan prestasi semasa para atlet terjaga sekaligus melahirkan atlet yang boleh berdaya saing dengan pemain bola jaring luar negara.
“Apabila kita dibawah MSN persediaan pemain lebih terjaga baik dari segi fizikal dan juga mental selain penjagaan pemakanan serta berat badan para atlet jadi bila kami dapat program yang mantap daripada MSN baru dapat buat penambahbaikan untuk bahagian yang kurang.”