Jadual yang padat dan tiada masa untuk cuti hingga hujung tahun – Matthew Davies

260

Pemain petahanan negara, Matthew Davies memaklumkan tiada cuti sehingga hujung tahun buat dirinya memandangkan ingin bersama skuad kebangsaan dan kelab bagi perlawanan-perlawanan penting yang mendatang.

Matt Davies yang ditemubual memberitahu selepas ini masih banyak kejohanan dan perlawanan penting yang perlu diberi fokus antaranya Kelayakan Piala Dunia, Piala Asia dan juga Liga Juara-juara Asia (ACL) bersama skuad Johor Darul Ta’zim.


“Kami sudah menjangkakan jadual yang padat dan tiada cuti sehingga hujung tahun ini dengan pelbagai kejohanan, Kelayakan Piala dunia, ACL dan Piala Asia jadi banyak perlawanan penting mendatang sejujurnya saya tidak sabar untuk bermain,”

katanya.

Pemain yang berusia 28 tahun itu kini mahu memberikan fokus sepenuhnya bersama skuad kebangsaan selain tidak mahu terlepas daripada bermain dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.

Beliau yang bermain di sebelah kanan pertahanan negara mengakui kini di Malaysia sudah mula ramai pemain pertahanan kanan yang berbakat dan beliau sendiri mahu berusaha lebih keras untuk mengekalkan tempatnya di skuad kebangsaan.

“Untuk saya sendiri saya bekerja keras hari demi hari dan sekarang ada ramai pemain pertahanan kanan yang berbakat jadi saya akan cuba yang terbaik untuk kekalkan tempat saya,”

Beliau yang sudah bermain 39 perlawanan bersama skuad senior kebangsaan sangat teruja dengan aksi persahabatan menentang pasukan yang lebih kuat di China selain sudah sedia maklum dengan apa yang jurulatih Kim Pan-gon inginkan dari beliau dan rakan sepasukan.

“Saya akui perlawanan yang mendatang ini satu bentuk tentangan baru dibawakan oleh jurulatih dan majoriti pemain-pemain yang ada di sini semuanya sudah bersama sejak sebelum ini, kami juga sudah tahu apa yang jurulatih mahukan dan menganggap perlawanan dengan dua pasukan kuat ini satu pendedahan yang baik terutama bermain di tempat lawan.”

Malaysia akan bertemu dengan Syria pada 6 September dan China pada 9 September yang bertempat di Chengdu Sport Center, China.