Saya ingin bebas kecederaan, siapa sahaja mahu terlepas Piala Asia? – Darren Lok

211

Penyerang utama negara, Darren Lok mahu lebih berjaga-jaga berdepan perlawanan persahabatan menentang Syria dan China bagi mengelakkan sebarang kecederaan yang mampu membuatkan beliau terlepas Piala Asia bersama Harimau Malaya dan Piala AFC dengan Sabah FC.

Darren yang pernah dihantui kecederaan serius sehingga terlepas panggilan skuad kebangsaan sudah tidak mahu perkara seperti itu berulang dan ingin memastikan beliau berada dalam keadaan bebas kecederaan sepanjang musim ini.


“Jadual perlawanan agak padat di peringkat kelab dengan Piala AFC mendatang dan saya akan cuba sedaya upaya untuk bebas kecederaan kerana tiada siapa yang mahu terlepas Piala Asia,”

katanya.

Selain itu juga, Darren akui beliau mahu bermain dengan lebih santai dalam usahanya untuk mengelak daripada cedera yang akan membuatkan beliau terlepas panggilan untuk ke Piala Asia tahun hadapan.

“Seperti yang saya katakan sebelum-sebelum ini bahawa bukan mudah untuk saya ubah corak permainan serta cara berlatih dan malangnya ada ketika saya bermain dengan bersungguh saya juga yang cedera seterusnya terlepas perlawanan tetapi jika dapat arahan untuk bermain saya akan lebih santai,”

Menentang Syria dan China bakal menjadi penanda ukur yang baik buat skuad kebangsaan menjelang persiapan ke Piala Asia.

Menurut Darren sendiri perlawanan menentang Syria bakal menyaksikan tahap kekuatan fizikal pemain kita selain menyatakan sangat bersemangat untuk berjuang bersama rakan sepasukan menentang pasukan yang mempunyai kualiti ranking 100 teratas Kesatuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

“Perlawanan persahabatan seterusnya ini memang agak sukar memandangkan Syria yang bermain dengan fizikal di samping China yang mempunyai kualiti sendiri jadi ini permainan yang kami semua perlukan untuk persediaan ke Piala Asia tahun hadapan yang mana kami teruja untuk bermain dengan pasukan yang berkualiti tinggi.”

Untuk rekod kali terakhir Darren menyarung jersi kebangsaan adalah pada awal tahun lalu di mana skuad kebangsaan menang ke atas Turkmenistan dan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan.