Harith Haiqal mahu rakan sepasukan waspada ancaman Bangladesh
Pemain pertahanan pasukan kebangsaan B-23, Harith Haiqal memberitahu mereka tidak boleh memandang rendah pasukan Bangladesh apabila mereka akan bertemu pada Rabu ini (6 September) dalam perlawanan pertama kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2024.
Menurut Harith, ini adalah perlawanan pertama skuad Harimau Muda menentang Bangladesh yang mana ia misteri buat pemain dek tidak tahu kekuatan sebenar pasukan tersebut.
“Saya cakap dengan semua pemain jangan ambil mudah kerana kebanyakkan pasukan seperti ini yang akan kejutkan kita. Itu yang kita takut.
Bagi saya pemain perlu bijak untuk atasi tekanan kerana bagi saya tekanan bukan tertumpu pada perlawanan Thailand tapi lebih kepada Bangladesh dan Filipina.
Kemenangan pertama akan boost semangat dan keyakinan untuk baki dua perlawanan,”
katanya.
Malaysia telah diundi dalam Kumpulan H bersama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah Thailand.
Dalam pada itu, beliau berkata persiapan pasukan berjalan dengan cukup lancar minggu lagi dan yakin dengan kemampuan pasukan untuk mara ke pusingan seterusnya.
Beliau pada masa sama turut mengakui berasa lebih yakin kali ini apabila mempunyai minit permainan yang banyak ketika beraksi untuk Selangor FC.
“Bagi saya ia akan bantu banyak keyakinan saya untuk perlawanan antarabangsa ini. Saya berterima kasih dengan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dan pengurusan Selangor atas kepercayaan yang diberi.”
Skuad negara dalam misi untuk cuba menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas bagi memastikan slot mereka terjamin untuk ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Qatar tahun hadapan.
Selain juara kumpulan, empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik akan turut layak.