Saya yakin dengan skuad yang ada kita mampu mara ke Piala Asia B-23 2024 – Shahril Mokhtar
Pengurus pasukan kebangsaan B-23, Dato’ Sri Shahril Mokhtar menyuarakan keyakinan terhadap pasukannya untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 di Qatar pada tahun hadapan.
Menurut Shahril, pemain-pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih E. Elavarasan untuk kelayakan kali ini adalah yang terbaik.
“Dengan izin Allah, saya yakin dengan skuad yang ada ketika ini adalah pemain-pemain terbaik yang pernah kita kumpulkan dalam tempoh dua tahun.
InsyaAllah kita mampu mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar,”
katanya.
Skuad Harimau Muda telah diundi dalam Kumpulan H bersama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah Thailand.
Kelayakan Piala Asia B-23 akan berlangsung dari 6 hingga 12 September ini di Chonburi, Thailand.
“Jika kita lihat dalam senarai akhir pemain, rata-rata pemain adalah pemain berpengalaman walaupun muda.
Pemain-pemain ini mempunyai pendedahan luas dalam saingan Liga Super. Yang kedua ramai pemain kita kali ini juga ada yang pernah bermain dalam skuad senior kendalian Kim Pan-gon.
Jadi sistem dan corak permainan dan sebagainya Alhamdulillah saya lihat latihan enam hari amat-amat positif.”
Sementara itu, beliau turut berkata walaupun mereka tidak berada dalam kumpulan maut namun beliau tetap mahu pasukan berwaspada dengan setiap pasukan dalam kumpulan bagi memastikan sasaran mereka untuk mara ke peringkat seterusnya direalisasikan.