Buat latihan ‘extra’ adalah perkara biasa untuk saya – Safawi Rasid
Pemain sensasi kebangsaan, Safawi Rasid tidak melihat latihan tambahan yang dilakukannya sepanjang tempoh kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang bermula sejak 29 Ogos lalu sebagai sesuatu yang baru, sebaliknya ia adalah perkara biasa buat dirinya.
“Saya di Johor Darul Ta’zim (JDT) pun saya buat benda yang sama yang mana saya akan datang awal untuk buat latihan tambahan dan banyak lagi pemain turut buat benda yang sama.
Jadi saya rasa benda itu normal bagi seorang pemain bola sepak profesional,”
katanya.
Safawi merupakan salah seorang daripada 25 pemain yang disenaraikan oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Syria dan China di Chengdu, China.
Menyedari bakal berdepan lawan yang sukar di tempat lawan, Safawi mahu pasukannya kekal fokus dan berwaspada apabila turun menentang kedua-dua pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi dari skuad negara.
“Bagi saya sudah tentu kita akan hormat mereka kerana mereka adalah pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi dari kita selain mempunyai kualiti seperti permainan di Eropah, jadi kita perlu waspada dan pada masa sama buat kerja kita ikut apa yang dirancang oleh ketua jurulatih.”
Dalam pada itu, Safawi turut menyuarakan keyakinannya terhadap skuad negara ketika ini berikutan prestasi semasa pasukan dan berpotensi untuk memperoleh kemenangan.
Beliau juga tidak meletak sebarang sasaran individu termasuk menjaringkan gol pada kedua-dua perlawanan kelak, sebaliknya berkata sasaran utamanya adalah untuk pasukan menang dalam setiap perlawanan.
“Saya sasaran utama adalah pasukan menang, tidak kisah siapa yang jaringkan gol kerana apa yang penting kerana kita bermain dalam satu unit, jadi siapa yang dapat jaringkan gol ia adalah bonus untuk pasukan.”