Jika isu tunggakan gaji terus hantui Kelantan FC, perjuangan untuk kekal di Liga Super berisiko terkubur

65

Musim ini, sudah beberapa kali pasukan Kelantan FC menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan akibat kemelut yang berlaku antara pasukan itu dan pemain serta pegawai pasukan.

Selepas beberapa ketika kemelut yang melibatkan pasukan itu senyap seketika, baru-baru ini seorang pemain Kelantan bersuara di laman Instagramnya dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan janji yang tidak dilunaskan oleh pasukan itu.


Hantaran yang dilakukan oleh penjaga gol pasukan itu, Irfan Haikal menarik perhatian peminat bola sepak tempatan yang merasakan bahawa Kelantan masih lagi berdepan dengan kemelut gaji yang tiada kesudahan.

Ini kerana, sebelum ini terdapat beberapa pemain Kelantan yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka di laman Instagram kerana tidak menerima gaji beberapa bulan.

Menurut Irfan, janji yang dibuat adalah untuk diselesaikan pada 15 Ogos, namun sehingga sekarang masih belum dilunaskan.

Kelantan kini sedang menghuni tangga kedua tercorot Liga Super dan berisiko untuk tersingkir ke Liga M3 dengan berbaki lima perlawanan.

Sekiranya isu melibatkan tunggakan gaji kembali muncul di saat saingan liga tiba ke penghujung, ia boleh memberi kesan terhadap perjuangan pasukan itu untuk terus kekal dalam Liga Super.

Kelantan juga tidak berada dalam situasi yang baik sejak beberapa perlawanan terdahulu, melepaskan 29 gol dalam tiga perlawanan terakhir.

Dengan tiga kekalahan memalukan berturut-turut itu, sudah tentu motivasi pemain berada di tahap yang rendah, dan jika isu tunggakan gaji benar-benar berlaku, ia ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.