Saman Roslin Hashim, reputasi BAM jadi taruhan

243

Arena badminton negara dikejutkan dengan berita mengenai saman fitnah yang dilakukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim.

Roslin dalam satu hantaran di media sosial berkata bahawa perbicaraan akan bermula pada 5 hingga 12 September.


Beliau berkata, perbicaraan itu tidak akan menghalang dirinya daripada berjuang habis-habisan untuk arena badminton negara.

Bekas pemain nombor satu dunia itu sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan di media sosial terhadap Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Datuk Ng Chin Chai.

Roslin yang merupakan salah seorang panel penasihat teknikal BAM juga pernah meluahkan kekecewaannya kerana tidak dirujuk terlebih dahulu berkenaan penamatan kontrak bekas Pengarah Pembangunan Remaja, Datuk Misbun Sidek.

Kemelut yang berlaku antara kedua-dua pihak ini dilihat mampu memberi tamparan kepada reputasi BAM.

Sebelum ini, ramai peminat badminton negara yang mempersoalkan badan tersebut gara-gara isu melibatkan pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia yang tidak dibenarkan berlatih di Akademi Badminton Malaysia menggunakan pakaian yang mempunyai logo penajanya.

Malah ramai peminat yang merasakan bahawa badan tersebut yang bermasalah dan harus melakukan proses ‘baik pulih’ dari dalam.

Sekiranya keputusan kes melibatkan Roslin berpihak kepada BAM, ia mungkin boleh membersihkan kembali reputasi BAM dan segala dakwaan buruk terhadapnya.

Namun, sebaliknya jika tewas, ia mungkin menunjukkan bahawa BAM sebuah badan yang bermasalah dan memerlukan ‘pembersihan’.