Kami akan cuba realisasikan harapan peminat untuk layak ke Piala Asia B-23 2024 – E. Elavarasan
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, E. Elavarasan mengakui harapan tinggi yang diletakkan oleh peminat bola sepak Malaysia yang mahu melihat pasukannya berjaya mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024.
Menyedari tugas berat menanti skuad Harimau Malaya, Elavarasan memberi jaminan bahawa pemain-pemainnya akan memberikan aksi terbaik untuk memastika harapan tersebut dapat dicapai.
“Kami sedar akan harapan tinggi yang diletakkan kepada kami, jadi kami datang ke sini untuk berikan aksi terbaik dan akan cuba realisasikan harapan peminat.
Ya, memang kami sedar cabaran besar menanti tapi kami juga teruja untuk memulakan kempen kelayakan kerana kami sendiri turut mempunyai sasaran sama iaitu cuba untuk mendapatkan slot ke pusingan akhir Piala Asia tahun hadapan,”
katanya.
Skuad negara telah diundi dalam Kumpulan H akan memulakan kempen mereka menentang Bangladesh pada 6 September, Filipina pada 9 September dan Thailand pada 12 September.
Kempen kelayakan yang akan membuka tirai esok akan berlangsung di Stadium Chonburi, Thailand.
Dalam pada itu, Elavarasan juga memberitahu bahawa beliau sudah memberi peluang kepada kesemua pemain untuk turun beraksi dalam banyak kejohanan yang disertai mereka.
Oleh itu, beliau berharap pemain-pemain yang dibawa ke Thailand akan memberikan persembahan terbaik mereka.
“Kami membuat banyak rotasi pemain dalam banyak kejohanan yang disertai dan diharap dengan pengalaman yang ditimba dapat digunakan pemain untuk memperoleh keputusan positif.”
Biarpun skuad B-23 sebelum ini dikritik dek prestasi terumbang-ambing, namun untuk kempen kelayakan Piala Asia B-23 kali ini Elavarasan berjaya mendapatkan pemain-pemain terbaik termasuk Luqman Hakim dan Nooa Laine untuk memperkuatkan pasukan.
Sasaran utama skuad negara adalah untuk menjadi juara kumpulan supaya dapat layak secara automatic ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 di Qatar, atau sekurang-kurangnya bersama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik.