JDT harus manfaatkan prestasi tidak menentu Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai
Saingan AFC Champions League (ACL) musim 2023/24 akan membuka tirainya tidak lama lagi iaitu pada 18 September ini, dengan wakil Tunggal Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memulakan kempen menentang gergasi Jepun, Kawasaki Frontale pada 19 September.
Ini bakal menjadi ulangan kepada aksi musim lalu di mana kedua-dua pasukan itu turut diundi dalam Kumpulan sama, selain penyandang juara K-League 1, Ulsan Hyundai dan pasukan Thailand, BG Pathum.
Musim lalu, JDT berjaya melakar kejutan dalam Kumpulan yang dianggap sukar apabila mengenepikan cabaran Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan Guangzhou FC.
Musim ini, saingan dijangka lebih mencabar buat JDT kerana format timbal balik tempat sendiri dan tempat lawan kembali diguna pakai berbanding venue berpusat di Stadium Sultan Ibrahim musim lalu.
Bagaimanapun, berdasarkan prestasi terkini Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai, JDT harus mengambil peluang untuk mencatatkan kejutan seperti musim lalu, lebih-lebih lagi dengan prestasi mereka kini berada di tahap yang paling baik.
Sejak kebelakangan ini, Kawasaki Frontale dilihat bergelut untuk mendapatkan kemenangan dalam saingan liga, empat kekalahan dan satu seri dalam lima perlawanan terakhir.
Dalam saingan musim lalu, JDT mencatatkan satu seri dan satu kekalahan di tangan Kawasaki Frontale.
Sementara itu, walaupun mendahului saingan K-League 1, Ulsan Hyundai juga kini tidak berada dalam prestasi yang terbaik, dua kemenangan, dua seri dan tewas sekali dalam lima perlawanan terakhir liga.
Ia ternyata berbeza dengan prestasi kedua-dua pasukan menjelang saingan ACL pada musim lalu yang nyata lebih baik.
JDT pada musim ini pula masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam saingan domestik, dan dengan prestasi yang lebih memukau berbanding musim lalu, ia harus menjadi tonik buat wakil Malaysia itu pergi lebih jauh dalam ACL musim ini.
Dengan kejuaraan Liga Super yang boleh dikatakan sudah berada dalam tangan, mereka boleh menumpukan perhatian yang lebih dalam saingan ACL musim ini.