Liga Thailand sesuai buat Dion Cools, teruskan kecemerlangan dipilih dalam kesebelasan terbaik bulanan

242

Pertahanan kebangsaan, Dion Cools meneruskan rentak kecemerlangannya di Liga Thailand apabila tersenarai dalam kesebelasan terbaik bulanan.

Liga Thailand yang baru memulakan musimnya bulan lalu menyenaraikan pemain Buriram United itu di posisi pertahanan tengah selepas beliau membantu pasukannya mencatatkan dua kemenangan dan satu seri dalam tiga perlawanan pertama, dan turut menyumbang satu bantuan gol.


Musim lalu, Cools terpilih dalam kesebelasan terbaik musim 2022/23 walaupun hanya menyertai pasukan itu pada pertengahan musim.

Beliau dilihat semakin selesa dan cemerlang beraksi di Liga Thailand, dan ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada skuad kebangsaan.

Walaupun terdapat banyak desas-desus beliau dikatakan akan beraksi di Liga Malaysia selepas kontrak bersama kelab Republik Czech, FK Jablonec tamat, Buriram akhirnya berjaya mendapatkan tandatangannya.

Dengan prestasi yang ditonjolkan sejak berkelana di Liga Thailand, beliau pastinya akan menjadi ayam tambatan buat Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023 kelak.

Mungkin adalah lebih baik untuk beliau terus kekal bermain di bumi Thailand kerana saingan yang sengit dan tahap kompetitif di negara itu mampu menjadikan dirinya pemain yang lebih baik.

Beliau kini sedang bersama dengan skuad Harimau Malaya untuk persediaan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Syria dan China.

Pada dua perlawanan persahabatan sebelum ini, beliau tidak dapat menyertai pasukan kerana melangsungkan perkahwinannya.

Kini, dengan kehadirannya kembali, skuad kebangsaan pastinya lebih kuat dan diharapkan kejayaannya disenaraikan dalam kesebelasan terbaik bulanan mampu menjadi tonik tambahan buat dirinya dalam mempamerkan aksi cemerlang dalam kedua-dua perlawanan itu.