Kelab Veteran Bos Gaurus berdaftar dan ada penaja, mungkin akan beraksi di Liga M4 atau M5 satu hari nanti – Abd Malek Ishak
Pengerusi Veteran Bos Gauras (VBG), Abd Malek Ishak berbangga dengan pencapaian pasukan itu yang bermula daripada bawah dan kini sudah mempunyai kira-kira 500 ahli.
Katanya, ia bermula pada tahun 2020 apabila sekumpulan anak Perak yang bekerja di Lembah Klang bermain suka-suka, dan berkembang sedikit demi sedikit.
Katanya, sehingga kini, pasukan itu sudah bermain sebanyak 233 perlawanan sejak ditubuhkan, satu jumlah yang membanggakan bagi sebuah kelab sosial yang baru ditubuhkan.
“Pasukan ini ditubuhkan pada tahun 2020, pada peringkat permulaan hanya 20 orang sahaja yang ada dalam pasukan ini kemudian ia semakin bertambah dan sekarang ini mungkin sudah lebih 500 orang.
Sehingga hari ini, kita sudah bermain sebanyak 233 perlawanan, kita juga mempunyai pasukan pelbagai peringkat umur seperti bawah 30 tahun, atau 30 tahun, atas 40 tahun, dan kita juga ada pasukan akar umbi dari umur 7 ke 12 tahun,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Katanya, tidak mustahil satu hari nanti pasukan VBG mampu beraksi dalam saingan liga tempatan seperti Liga M5 atau Liga M4.
Tambahnya, pasukan itu juga turut berdaftar dan mempunyai penaja sendiri yang menaja pasukan.
“Kita memang ada penaja sendiri selain daripada wang sumbangan daripada ahli sendiri.
Kelab kita juga turut berdaftar jadi mudah dari segi perjalanan kelab itu sendiri.”
Tambahnya, selain daripada bermain bola sepak, kelab itu juga ada membuat aktiviti kebajikan seperti sumbangan untuk anak yatim dan sebagainya.
Beliau berharap VBG akan terus berkembang dan berjaya menempa nama dalam arena bola sepak tempatan satu hari nanti.