Rakphol umum panggilan pertama pasukan futsal, kumpulkan skuad lebih muda dan penuh muka baharu

405

Skuad futsal kebangsaan negara kembali berkumpul buat kali pertama sejak sekian lama bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Uzbekistan Oktober ini, namun kali ini di bawah kendalian ketua jurulatih, Rakphol Sainetngam.

20 pemain telah dipanggil dengan 10 daripadanya adalah muka baharu dan lima pemain diletakkan dalam senarai bersedia.


Pemain dari juara MPFL 2023, Pahang Rangers paling banyak dipanggil dengan lapan, diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan enam pemain, Selangor MAC dengan tiga pemain, manakala satu pemain masing-masing daripada PFA Odin Sarawak/Pulau Pinang, Terengganu dan KL City FC.

Untuk skuad kali ini, Rakphol menampilkan lebih ramai pemain muda dengan purata umur pemain adalah 25.7 tahun.

Pemain termuda adalah Syahir Iqbal yang berusia 18 tahun manakala pemain paling berumur adalah seramai tiga orang pemain yang berusia 32 tahun.

Ini berbeza dengan panggilan terkahir skuad futsal negara di bawah kendalian Chiew Chun Yong sebelum ini di mana purata umur pemain adalah 27.6 tahun.

Pada ketika itu pemain yang paling berumur adalah berusia 35 tahun dan termuda berusia 22 tahun.

Rakphol yang baru dilantik pada awal bulan lalu dilihat sudah melakukan perubahan yang signifikan dalam skuad kebangsaan dari segi pemilihan pemain.

Ini adalah petanda positif kerana menunjukkan bahawa tiada pemain yang harus berasa selesa dengan kedudukan dalam pasukan kebangsaan, terutama pemain senior.

Mungkin masih terlalu awal untuk mengadili apa kemampuan Rakphol, namun beliau menunjukkan bahawa sesiapa sahaja boleh mewakili pasukan kebangsaan sekiranya layak.

Ini kerana, walaupun PFA Odin Sarawak menamatkan saingan MPFL di tangga kedua tercorot dengan hanya satu kemenangan, pemainnya tetap dipilih oleh Rakphol.