Akhyar Rashid harap skuad negara dapat kekalkan momentum, Darren Lok sedikit ralat tak berjaya menang
Pemain sensasi pasukan kebangsaan, Akhyar Rashid gembira dengan aksi yang dipamerkan pasukannya pada perlawanan menentang Syria petang tadi apabila mereka berjaya melakukan kebangkitan untuk menamatkan permainan dengan keputusan seri 2-2.
“Syukur Alhamdulillah perlawanan petang tadi dapat comeback 2-2. Harap kita dapat kekalkan momentum ini untuk perlawanan akan datang,”
katanya.
Akhyar turut memuji aksi pasukannya sepanjang tempoh 90 minit permainan kerana berjaya memberi tentangan sengit kepada pasukan yang berada di ranking ke-90 dunia.
Ketika ini ranking skuad Harimau Malaya adalah di tangga ke-136 dunia.
Dalam pada itu, penyarang negara Darren Lok yang menjaringkan gol kedua yang juga gol penting untuk mengikat gergasi dari Asia Barat itu berasa sedikit ralat apabila mereka tidak mampu untuk menang perlawanan tersebut kerana berjaya mencipta banyak peluang.
“Gembira dengan pasukan dapat bangkit dari ketinggalan 2-0. Saya rasa pada separuh masa kedua kita lebih baik yang mana kita mempunyai banyak peluang dan mungkin sedikit kecewa kerana tidak dapat menang perlawanan tadi.
Tapi keputusan 2-2 adalah keputusan yang baik untuk kita.”
Skuad kendalian Kim Pan-gon akan berehat selama dua hari sebelum kembali turun beraksi pada perlawanan persahabatan kedua antarabangsa Tier 1 menentang tuan rumah China pada 9 September ini.