E. Elavarasan gembira objektif kutip 3 mata menentang Bangladesh tercapai

116

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, E. Elavarasan nyata gembira apabila berjaya mengutip tiga mata penuh selepas benam Bangladesh 2-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan H kelayakan Piala Asia B-23 2024 sebentar tadi.

Menurut Elavarasan, beliau mengakui anak buahnya sukar untuk menembusi pertahanan lawan yang cukup ampuh biarpun mengawal permainan dan banyak melakukan percubaan.


“Apa yang penting kami perlukan kemenangan untuk kutip tiga mata dan secara keseluruhannya saya gembira dengan tiga mata dan akan move forward untuk perlawanan akan datang.

Barisan pertahanan lawan bertahan dengan cukup baik dan kami akhirnya berjaya mendapatkan dua gol untuk menang,”

katanya.

Elavarasan juga memuji pemain-pemainnya yang mempamerkan aksi permainan baik sebagai satu unit.

Dalam pada itu, selepas Bangladesh skuad Harimau Muda akan turun menentang Filipina pula pada perlawanan kedua 9 September ini untuk sekali lagi mengutip tiga mata penuh untuk mencerahkan peluang mereka menjadi juara kumpulan.

Skuad negara akan menutup saingan peringkat kumpulan menentang tuan rumah Thailand pada 12 September yang merupakan perlawanan yang cukup penting buat skuad negara samada mampu layak ke Piala Asia B-23 2024 atau tidak.

Juara kumpulan dan empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah Qatar akan layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Qatar pada tahun hadapan.