Kurang bermain di liga, Akhyar ada ramuan tersendiri kekal dalam skuad kebangsaan

89

Lincah dan cemerlang di atas padang, kemampuan Akhyar Rashid sememangnya tidak boleh disangkal lagi meskipun tidak mempunyai banyak minit permainan namun apabila menyarung jersi kebangsaan beliau mampu membuahkan sesuatu.

Pemain yang berumur 24 tahun itu menampilkan persembahan yang berkualiti setiap kali dibenarkan beraksi selain memberi ancaman dengan kepada pertahanan lawan dengan kelajuan serta kemahiran menggeleceknya.


Jika dilihat mengikut statistik musim ini beliau hanya tampil beraksi bersama Johor Darul Ta’zim sebanyak 11 kali namun disebabkan ramai pemain-pemain yang berkualiti menyebabkan Akhyar lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

Dalam 11 perlawanan yang diturunkan, Akhyar cuma bermain selama 250 minit sahaja dan selebihnya beliau hanya menyaksikan rakan sepasukan dari sisi padang.

Namun apabila bermain di peringkat kebangsaan kita dapat melihat corak permainan sebenar Akhyar yang banyak membantu skuad Harimau Malaya dari sudut serangan di bahagian sayap menggunakan kelajuannya.

Jika para peminat yang mengikuti perkembangan bola sepak pasukan kebangsaan sudah pasti maklum dengan keberkesanan penggunaan Akhyar di bahagian sayap.

Hal ini dapat dilihat dalam beberapa siri perlawanan bersama skuad kebangsaan, beliau yang lincah dan laju acap kali mengkucar-kacirkan benteng pertahanan pasukan lawan sehingga sering menjadi sasaran untuk dikasari.

Mengikut rekod, beliau sehingga hari ini sudah bermain sebanyak 36 perlawanan bersama skuad kebangsaan dan ini membuktikan sekali lagi meskipun dengan tidak mempunyai banyak peluang untuk beraksi di peringkat kelab, Akhyar masih dipanggil oleh pengendali skuad kebangsaan.

Sepanjang beraksi bersama skuad kebangsaan, beliau sudah berjaya membutirkan sembilan gol dan 10 bantuan jaringan sejak pertama kali menyertai Harimau Malaya pada 22 Mac 2018.

Akhyar boleh dikatakan seorang pemain yang memiliki bakat bola sepak yang semula jadi di mana beliau sendiri tidak memerlukan masa yang banyak di atas padang untuk membuktikan kemahirannya sebenarnya.

Diharapkan dalam tempoh yang mendatang, Malaysia dapat melahirkan lebih banyak pemain sebegini dan Akhyar akan lebih berkembang dalam menjadi pemain yang berkualiti untuk menjadi contoh kepada rakan sepasukannya yang lain.