CR7 revolusikan bola sepak Arab Saudi, tidak cukup untuk tersenarai Ballon d’Or
Pelik dan merungsingkan apabila tiada kelibat pemain bola sepak terbaik dunia iaitu Cristiano Ronaldo tiada dalam senarai pencalonan bagi Ballon d’Or tahun ini disamping nama Lionel Messi disebut-sebut bakal menjadi penyandang anugerah itu.
Baru-baru ini senarai 30 pemain terbaik dunia telah dikeluarkan dan apa yang lebih mengherankan Cristiano Ronaldo yang sudah membawa satu revolusi baru di Liga Pro Arab Saudi selain membawa pasukannya menjuarai Piala kelab Raja Salman pada tahun ini menumpaskan Al Hilal tidak tersenarai.
Semenjak tahun 2003 bersamaan 20 tahun, ini merupakan kali pertama Cristiano Ronaldo tidak tercalon bagi anugerah Ballon d’Or yang mana anugerah tersebut kali terakhir beliau memenanginya untuk kali ke-5 pada tahun 2017 yang lalu.
Selepas menamatkan kontrak secara persetujuan bersama dengan Manchester United, Cristiano telah menandatangani kontraknya dengan Al Nassr dan sehingga hari ini lebih daripada 10 orang pemain Bintang dunia yang sudah mengikuti jejak langkahnya beralih angin ke Liga Pro Arab Saudi.
Antara pemain-pemain yang menyertai liga tersebut adalah pemenang Ballon d’Or edisi 2022 iaitu Karim Benzema selain Bintang Paris Saint German iaitu Neymar Jr dan bekas pemain sensasi Liverpool dan Bayern Munich iaitu Sadio Mane.
Dalam pada masa itu juga, pemain yang kini berusia 38 tahun itu masih meneruskan rentak permainannya yang bertenaga dengan menjadi penjaring kedua terbanyak dalam pasukannya dan kelima dalam liga.
Turut bersaing untuk merebut trofi berprestij dalam sukan bola sepak tersebut Lionel Messi mendapat sokongan penuh para penyokong bola sepak dunia memandangkan pencapaian beliau bersama skuad kebangsaan meraih Piala Dunia pada tahun lalu.
Menjengah ke laman twitter disebalik sokongan padu peminat Lionel Messi yang kini sedang bermain di Liga Bola Sepak Amerika (MLS) terdapat juga segelintir penyokong yang mempersoalkan ketiadaan Cristiano dalam senarai tersebut selepas apa yang beliau bawa ke Arab Saudi.
Menurut mereka juga tentang ketiadaan pemain asal Portugal itu dalam pencalonan kali ini tidak begitu mengejutkan kerana mereka cuma mahukan trofi tersebut diserahkan kepada pemenang yang berhak.
Perkara ini banyak kali dipersoalkan oleh para peminat bola sepak seluruh dunia tentang cara penelitian atau pemilihan pemain-pemain yang bakal menerima anugerah tersebut.
Ramai peminat berharap agar tahun ini pemilihan pemenang dibuat dengan adil mengikut statistik dan realtiti sebenar prestasi pemain tersebut dalam permainan.