Peminat anggap diberi ‘harapan palsu’, mengapa RTM tak jadi siarkan perlawanan skuad B-23?
Skuad B-23 negara berjaya mencatatkan kemenangan pada aksi sulung kelayakan Piala Asia B-23 semalam ke atas Bangladesh dengan kemenangan 2-0.
Di sebalik kejayaan itu, segelintir para peminat di Malaysia hampa kerana tidak berpeluang menonton aksi skuad B-23 negara.
Ini selepas siaran langsung yang sepatutnya disiarkan di saluran RTM secara tiba-tiba tidak disiarkan, menyebabkan ramai peminat yang tertunggu-tunggu hampa.
Astro juga turut menyiarkan perlawanan tersebut, namun bagi peminat yang tidak melanggan Astro, mereka meluahkan kekecewaan kerana ibarat diberi ‘harapan palsu’.
Sepatutnya, perkara seperti ini tidak berlaku dan sebagai saluran televisyen kerajaan, RTM seharusnya menyokong misi skuad B-23 negara untuk layak ke Piala Asia B-23 dengan menyiarkan perlawanan tersebut.
Lebih-lebih lagi apabila para peminat sudah dijanjikan dengan siaran langsung, jadi apabila ia tidak disiarkan, pastinya ia merencatkan semangat untuk memberi sokongan dari jauh.
Selepas ini, Malaysia akan menempuh dua lagi perlawanan peringkat Kumpulan dalam misi layak ke Piala Asia B-23, iaitu menentang Filipina dan Thailand.
Peminat pastinya mengharapkan ada siaran langsung yang disiarkan di stesyen televisyen percuma seperti RTM.