Fasiliti di Eropah bukanlah sebaik yang kita sangka, fasiliti di Malaysia sebenarnya begitu baik – Adam Hamid

290

Pemain yang pernah berkelana di Liga Bosnia bersama pasukan NK Zvijezda Gradacac dan FK Alfa Modrica, Adam Hamid mengakui bahawa tidak semua negara di Eropah mempunyai fasiliti yang baik seperti yang disangka.

Katanya, fasiliti di Malaysia sebenarnya boleh dilihat sebagai cukup baik berbanding negara-negara tertentu di Eropah.


“Fasiliti di Eropah tak semestinya sebaik yang kita sangka, jika kita lihat lima liga utama Eropah memang fasliti mereka begitu hebat walaupun pasukan divisyen bawahan.

Tetapi di negara seperti Bosnia tidak semestinya fasiliti mereka seperti yang kita jangkakan, bagi saya di Malaysia fasilitinya adalah antara yang terbaik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Adam, beliau sedar perkara itu apabila berlatih bersama pasukan KL City FC sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa kariernya di Bosnia sebelum ini menghadapi kesukaran kerana cabaran untuk mendapatkan visa, menyebabkan beliau harus menunggu lapan bulan untuk kelulusan.

Beliau berharap akan dapat membina karier dari bawah bersama pasukan di Malaysia, mungkin daripada skuad B-23 terlebih dahulu.

“Sekarang saya sedang tunggu musim 2024 untuk mencari pasukan dalam Liga Malaysia, kalau boleh saya mahu bermula dari bawah mungkin dengan skuad B-23 dan kemudian berusaha untuk naik ke skuad utama.

Keutamaan saya masa kini adalah untuk mendapatkan minit permainan kerana ketika di Bosnia sebelum ini saya menghadapi masalah visa.”

Katanya, mungkin pada masa hadapan beliau akan berkelana kembali ke liga luar, namun tidak semestinya di Eropah sahaja, dan beliau terbuka untuk beraksi di mana-mana negara Asia atau Asia Tenggara.

Adam berkata, beliau mahu mengikut jejak langkah Amri Yahyah yang memiliki karier yang panjang di peringkat tertinggi sehingga sekarang.