Import pemain luar untuk beri impak kepada pasukan sekaligus tambah ilmu – Chibi Homebois
Kancah Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL MY) musim ke-12 kini diperkasakan lagi dengan penampilan pemain-pemain import daripada Filipina dan Indonesia namun ramai netizen diluar sana yang tidak bersetuju dengan pola sebegini.
Jika dilihat musim ini terutama Homebois mereka memiliki lebih daripada lima orang pemain import dan netizen anggap kehadiran pemain-pemain import ini ibarat membayangi pemain-pemain Mobile Legends tempatan.
Namun tidak bagi jungler pasukan Homebois iaitu Chibi yang menganggap semakin ramai pemain import dalam sesebuah pasukan itu semakin bagus kerana ada pertembungan ilmu dan secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti pasukan.
“Bagi pendapat saya kemasukan pemain import ini bagus disebabkan kami boleh tambah baik permainan kami dan gabungan ilmu dari pemain Malaysia serta Indonesia itu lebih baik jika digabungkan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Homebois hari ini mendapatkan kemenangan mereka yang kedua berturut-turut mengalahkan pasukan gah di takhta liga iaitu Red Giants Esport dengan skor 2-1.
Chibi yang kali ini membawa kelainan dalam pemilihan hero pada perlawanan hari ini memperlihatkan bahawa beliau bukan sahaja boleh bermain hero jungler fighter malah jaguh menggunakan hero jungler assassin juga.
Di samping berjaya menutup mulut ramai peminat MLBB di luar sana dengan kemahirannya, Chibi turut memberitahu bahawa beliau masih mempunyai hero-hero lain yang belum dikeluarkan dan baginya selagi hero yang digunakan belum rosak selagi itu juga beliau akan terus guna.
“InshaAllah, mungkin ada hero lain nanti tetapi bagi saya kalau hero itu masih boleh dipakai kenapa mahu tukar? “
Homebois pada hari esok akan meneruskan perjuangan mereka menentang juara MPL MY musim lalu iaitu Todak yang sekarang ini masih belum berjaya menampilkan potensi sebenar seperti yang mereka tonjolkan dalam musim-musim sebelum ini.