Dulu pemain Malaysia tak ada keyakinan diri, sekarang mereka dah sedar mereka sebenarnya bagus – Kim Pan-gon
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon melihat para pemain kini semakin yakin dengan kemampuan diri mereka dan percaya bahawa mereka mampu bersaing dengan pasukan-pasukan hebat di benua Asia.
Katanya, ia berbeza ketika beliau mula-mula mengambil alih pasukan di mana para pemain merasakan diri mereka tidak cukup bagus untuk bersaing di peringkat tertinggi.
“Ketika saya terima tawaran untuk menjadi ketua jurulatih Malaysia saya yakin bahawa pasukan ini mempunyai potensi yang tinggi cuma mereka tak sedar mereka cukup bagus.
Saya sering beri keyakinan kepada mereka dan sekarang saya lihat para pemain merasa mereka cukup bagus untuk menentang mana-mana pasukan di Asia,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media menjelang perlawanan persahabatan menentang China esok.
Pan-gon berkata, beliau mahu para pemain bermain secara agresif dan mengawal permainan seperti ketika menentang Syria pada perlawanan sebelum ini.
Jelasnya, walaupun anak buahnya pada mulanya ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama, Malaysia lebih banyak menguasai perlawanan.
“Pada pandangan saya, walaupun kami ketinggalan dua gol tetapi kami sebenarnya mendominasi perlawanan dari awal cuma kami ketinggalan disebabkan kesilapan sendiri dan set piece.
Menentang China esok saya mahu para pemain dapat kekalkan momentum dan bermain secara agresif dan kawal permainan, saya yakin mereka mampu lakukannya.”
Dalam pada itu, pemain pertahanan, Dion Cools tidak mahu terlalu memikirkan apa yang China mahu lakukan esok, sebaliknya fokus kepada persiapan sendiri.
Tambahnya, beliau dan rakan-rakan menghormati China kerana berdasarkan ranking mereka adalah pasukan yang lebih kuat.
“Kita harus menghormati China kerana kita tahu mereka di ranking yang lebih tinggi, saya tidak tahu sangat tentang pemain-pemain mereka tetapi kita tahu kekuatan mereka.
Sudah tentu kita lakukan analisis terhadap mereka tetapi apa yang lebih penting adalah kita harus fokus untuk bermain cara kita sendiri esok.”
Perlawanan antara Malaysia dan China akan berlangsung pukul 7.35 malam esok waktu Malaysia.