Pahang Rangers tak pernah putus asa, mereka tunjukkan semangat Mat Kilau – Gerard Casas
Ketua jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas menyifatkan para pemainnya menunjukkan semangat Mat Kilau untuk bangkit daripada ketinggalan untuk memenangan Piala Futsal Malaysia 2023.
Beliau bangga para pemain tidak berputus asa walaupun ketinggalan dua gol sehingga ke lima minit terakhir dan percaya mereka mampu bangkit.
“Pasukan kita tak pernah putus asa seperti apa yang mereka katakan, semangat Mat Kilau. Sebelum ini kita juga pernah lakukan comeback dalam beberapa perlawanan MPFL dan hari ini kita lakukan lagi.
Saya yakin dengan power play yang kita lakukan walaupun hampir separuh musim kita tak gunakan, ini pertama kali kami main power play dengan tekanan yang tinggi, dan ia berhasil,”
katanya.
Kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas 4 minit masa sebenar, sebelum kedua-duanya menambah satu jaringan untuk terikat 1-1 selepas masa tambahan, dan Pahang Rangers akhirnya menjuarai Piala Futsal Malaysia selepas menang 3-1 dalam penentuan penalti.
Tambahnya, beliau mendedikasikan kemenangan ini buat ibu bapanya yang hadir daripada Barcelona, Sepanyol bagi menyaksikan perlawanan itu.
Dalam pada itu, beliau mengakui masih belum memikirkan mengenai masa depannya dan memerlukan masa untuk berbuat demikian.
“Saya ada tawaran untuk perbaharui kontrak daripada Pahang Rangers tetapi saya harus fikir mengenai keluarga dan situasi peribadi saya, tetapi saya tak kata bahawa ia mustahil.
Buat masa sekarang saya sendiri tidak tahu, saya dah fikir dua tiga minggu mengenai perkara ini tetapi tak dapat jawapan lagi, selepas ini saya akan fikir lagi dan cuba buat keputusan.”
Tegasnya, walau apa pun yang berlaku, beliau akan sentiasa mencintai pasukan Pahang Rangers dan peminatnya yang menakjubkan.