Dua kemenangan belum cukup, kita perlu buat lebih lagi untuk menang menentang Thailand – V. Ruventhiran
Pemain kebangsaan B-23, V. Ruventhiran merasakan dua kemenangan menentang Bangladesh dan Filipina masih belum cukup lagi dan mereka perlu beraksi dengan lebih baik lagi untuk menang dengan Thailand.
“Bagus untuk kami konsisten apabila menang dalam dua perlawanan tanpa bolos ketika menentang Bangladesh dan Filipina.
Tapi bagi saya masih belum cukup lagi dengan apa yang kita buat dalam dua perlawanan terdahulu. Kita perlu buat lebih lagi untuk menang dengan Thailand,”
katanya.
Skuad Harimau Muda akan turun beraksi esok dalam perlawanan terakhir Kumpulan H menentang tuan rumah Thailand di Stadium Chonburi bagi mengesahkan slot ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar tahun depan.
Dalam pada itu, Ruventhiran turut mendedahkan bahawa motivasi seluruh pasukan berada dalam keadaan yang cukup baik dan berharap ia akan berterusan sehingga habis kempen kelayakan.
Beliau juga menyedari bahawa pertembungan dengan skuad Gajah Perang merupakan perlawanan yang cukup penting kerana ia bukan untuk mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Asia tetapi juga pasukan itu merupakan musuh tradisi pasukan kebangsaan.
Oleh itu, beliau berharap agar peminat memberikan sokongan padu buat mereka dan berjanji akan memberikan aksi terbaik untuk memberikan kemenangan kepada negara.
“Ini merupakan perlawanan penting buat kami Malaysia, jadi kami mahu menang perlawanan ini dan saya yakin barisan kejurulatihan mempunyai perancangan terbaik untuk bantu kami menang perlawanan esok.”