Klinsmann masih belum tunjuk belang, Harimau Malaya perlu waspada ancaman Korea Selatan di Piala Asia
Ramai yang sudah mula untuk mengkritik pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann setelah gagal memberikan impak yang positif dalam tempoh beberapa bulan beliau mengendalikan pasukan tersebut.
Klinsmann yang diangkat menjadi jurulatih pada awal tahun ini masih lagi bergelut untuk membuktikan kewibawaannya dalam memastikan Korea Selatan antara pasukan yang terkuat di Asia Tenggara.
Namun sejak terkeluar daripada pusingan ke-16 Piala Dunia tahun lalu mereka masih belum meraih kemenangan sama sekali meskipun memiliki pemain-pemain yang berbakat dan bermain di liga ternama eropah.
Menjengah ke ruangan twitter tersebar satu temuramah bersama Klinsmann yang mana beliau tidak kisah dengan apa yang ingin dikatakan oleh peminat kerana beliau mengetahui apa yang terbaik mengikut corak pengurusannya.
Meskipun mereka masih gagal untuk meraih kemenangan dalam mana-mana perlawanan sebelum ini, para peminat semestinya tahu dan peka kerana jika dilihat kembali pasukan-pasukan yang diatur bertemu mereka adalah bukan calang-calang.
Rata-rata pasukan yang mereka bertemu adalah dari kelompok 50 teratas dalam ranking Kesatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) iaitu antaranya Kolombia (ke-17), Uruguay (ke-16), Peru (ke-21), El Salvador (ke-75) dan Wales (ke-35).
Jadi untuk masa kini bagi para peminat yang menilai Klinsmann sebagai seorang lagi jurulatih yang gagal untuk membawa Korea Selatan dalam sukan ini, mereka perlu berfikir dan meneliti semula apa yang beliau lakukan untuk bola sepak negara itu.
Klinsmann sebelum ini sudah membuktikan banyak perkara yang membuktikan bahawa beliau mampu menjadikan sesebuah pasukan itu semakin baik seperti yang dilakukan kepada Amerika Syarikat pada tahun 2011 yang mana beliau masuk menggantikan Bob Bradley sekaligus mengatur langkah secara teratur dan membawa Amerika ke Piala Dunia sebanyak dua kali iaitu tahun 2014 dan 2018.
Malaysia yang bakal berdepan dengan Klinsmann dan anak-anak didiknya perlu lebih berhati disebabkan saban hari mereka mula menjadi lebih kuat apabila kebanyakan pemain baik di bahagian serangan, tengah dan pertahanan masing-masing mempunyai kualiti yang tersendiri.
Meskipun mereka dalam keadaan yang boleh dikatakan terumbang ambing namun melihat daripada rekod yang dimiliki Klinsmann dan pengalaman beliau dalam mengendalikan pasukan-pasukan gergasi dunia tidak mustahil untuk beliau membawakan kejutan dalam saingan Piala Asia tahun hadapan.