Para pemain sudah buat yang terbaik dan banyak yang perlu dibaiki terutama dari sudut serangan – E. Elavarasan
Jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun E.Elavarasan akui kegagalan dari jentera serangan pasukannya untuk menghasilkan gol menjadi punca mereka gagal meraih mata di Stadium Chonburi malam ini selepas ditumbangkan Thailand, 1-0.
Skuad bawah 23 tahun yang dipimpin Mukhairi Ajmal bermain baik sejak awal perlawanan namun gagal mengekalkan rentak permainan mereka selepas Yotsakorn Burapha meledak gol tunggal perlawanan sekaligus memadam harapan skuad muda negara untuk melangkah ke Piala Asia B-23 tahun hadapan.
Meskipun keputusan tidak memihak kepada pasukannya, E.Elavarasan memuji semangat juang anak buahnya yang bertungkus lumus untuk mengekang skuad muda gajah putih dan menyifatkan jentera serangan negara masih perlu dibaiki untuk memberi ancaman kepada benteng pertahanan pihak lawan sekaligus bagi mencetak gol.
“Para pemain sudah buat yang terbaik dan saya rasa mereka perlu perbaiki terutama dari sudut serangan,”
“Saya boleh kata perlawanan sebegini seharusnya perlu lebih ketat dari segi pengawalan pemain dan tidak boleh bolos akan tetapi kita ketinggalan seterusnya pemain cuba semampu mereka untuk samakan kedudukan namun tetap gagal walaupun mereka sudah buat yang terbaik,”
katanya.
Menurut Elavarasan lagi, perlawanan menentang Thailand malam ini bukan satu perlawanan yang mudah dimana kedua-dua pasukan sedang bersaing untuk mendapatkan tempat di kejohanan bola sepak terbesar di Asia.
“Saya rasa ini perlawanan yang sukar dimana ia perlu menentukan siapa yang menang dan siapa yang akan kalah yang mana saya rasa Thailand gunakan peluang mereka sebaik mungkin dan kita gagal untuk dapatkan gol penyamaan.”
Selepas kegagalan untuk meraih mata dalam perlawanan malam ini, skuad muda kebangsaan hanya memiliki peluang yang tipis bagi melayakan diri ke Piala Asia B-23 dengan memastikan mereka berada di kelompok empat pasukan teratas keseleruhan bagi kedudukan tempat kedua dalam kumpulan.