Jumpa video David Rowley semasa buat carian cara untuk bina CV Akif – Mohamad Akhili

139

Bakat muda bola sepak negara, adik Nur Akif melebarkan sayapnya bermain di kelab profesional Luxembourg selepas bapanya iaitu Mohamad Akhili sanggup membawa anaknya itu ke luar negara demi mengejar impian anaknya itu.

Akhili ketika ditemubual memberitahu bahawa Akif sememangnya mengimpikan untuk bermain sebagai pemain bola sepak profesional selain beranggapan sistem bola sepak di Malaysia kurang efektif dalam mengatur hala tuju pemain-pemain muda.


“Masalah perkembangan bola sepak di Malaysia adalah sebab Pusat Latihan Daerah (PLD) yang jauh selain pelan Kementerian Sukan dan Kementerian Pendidikan yang tidak selari jadi itu yang menyebabkan agak susah untuk pemain muda ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bapa kepada pemain muda itu juga mengambil langkah yang drastik untuk membawa kesemua ahli keluarganya berpindah ke Luxembourg sekaligus untuk memastikan Akif dapat mengejar cita-citanya.

Akif yang kini berusia 14 tahun sebelum ini pernah bermain di kelab-kelab di Malaysia antaranya Hala Tokio dan Pro Kidz Football sebelum merantau sehingga ke eropah untuk bermain bersama kelab profesional di Luxembourg iaitu Jeunesse Esch.

Akhili sendiri akui bahawa setiap pemain bola juga harus mempunya resume atau CV bagi menampilkan kemahiran mereka kepada para pencari bakat di luar sana dan beliau mengambil inisiatif dengan belajar membina portfolio sendiri untuk anaknya melalui kongsian di laman Instagram.

“Pada satu masa itu saya cuba buat carian di Youtube tentang bagaimana untuk bina CV sebagai pemain bola dan saya jumpa salah seorang pemain bola sepak Liga Super kita iaitu David Rowley dan saya ikut seperti mana beliau tunjuk dan saya berjaya dekati tiga kelab di sekitar Luxembourg,”

Menurut bapanya lagi, Akif mendapat panggilan bagi ketiga-tiga kelab yang didekati namun disebabkan barisan kejurulatihan Jeunesse Esch berminat untuk mengikatkan kontrak bersama Akif, beliau juga bersetuju disebabkan corak permainan pasukan tersebut serasi dengan cara bermain anaknya.

Kini Akif sudah mula berlatih bersama skuad bawah 15 tahun Jeunesse Esch dan sedang menunggu lesen untuk membenarkan beliau untuk beraksi dalam perlawanan rasmi bersama kelab tersebut.

“Akif sendiri nilai yang beliau serasi dengan latihan , intensiti dan corak permainan bersama pasukan Jeunesse Esch jadi saya pun selesaikan semua yang berkaitan pendaftaran dan sekarang kami hanya menunggu lesennya siap kerana lesen bermain itu diperlukan untuk Akif menyertai perlawanan rasmi bersama pasukannya.”

Diharapkan akan ada lebih ramai pemain-pemain muda yang berbakat mempunyai peluang untuk bermain di eropah dan secara tidak langsung dapat membantu skuad kebangsaan pada masa akan datang.