BG Pathum United tawar siaran percuma ACL 2023/24 di saluran YouTube
Saingan peringkat tertinggi kelab-kelab Asia, AFC Champions League (ACL) akan kembali membuka tirainya pada musim ini bermula 18 September.
Wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) diundi dalam Kumpulan I bersama-sama Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan BG Pathum United.
Apa yang menarik, peminat BG Pathum United berpeluang untuk menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan itu secara percuma.
Ini kerana, pihak kelab telah membeli hak penyiaran untuk disiarkan di laman YouTube pasukan itu khas untuk para peminatnya.
Langkah ini dilihat sebagai satu inisiatif yang baik oleh BG Pathum United bagi menghargai para peminat yang sentiasa menyokong pasukan itu.
Ini pastinya akan menjanjikan lebih ramai penonton pada perlawanan melibatkan pasukan itu pada saingan ACL 2023/24.
Kejayaan melangkah ke peringkat suku akhir pada musim lalu adalah satu sejarah buat pasukan itu, dan musim ini mereka dilihat mahu menyasarkan untuk pergi lebih jauh lagi dengan penambahan pemain seperti Chanathip Songkrasin.
Dengan akses percuma yang diberikan kepada peminat untuk menyaksikan aksi pasukan itu di pentas ACL musim ini, sudah tentu jangkaan yang diletakkan kepada pasukan lebih tinggi.
Justeru, memang sewajarnya Kumpulan I dianggap sebagai Kumpulan maut dalam saingan ACL 2023/24.