Engku Nur Syakir ketepikan penyerang sensasi Heberty Hernandes sebagai pemain terbaik Liga Super PFAM bulan Ogos
Engku Nur Syakir bakal jadi senjata utama di bahagian serangan buat skuad Terengganu FC di Piala AFC nanti selepas berjaya merangkul anugerah pemain terbaik Liga Super Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM) bulan Ogos.
Beliau yang berusia 25 tahun itu sebelum ini tercalon bersama-sama Manuel Hidalgo, Heberty Hernades, Harith Haiqal dan Kamal Azizi dalam acara bulanan PFAM itu.
Syakir sebelum ini tercalon disebabkan prestasinya dalam perlawanan Liga dan Piala Malaysia adalah sangat baik dan beliau turut termasuk dalam senarai menunggu bagi panggilan skuad Harimau Malaya untuk ke China baru-baru ini.
Beliau yang sudah bermain sebanyak 15 perlawanan musim ini di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner sememangnya memberikan keyakinan terutama buat peminat yang sangat yakin dengan corak permainan yang ditampilkan.
Bermain di bahagian penyerang sayap sememangnya bukan satu tugas yang mudah buat Syakir untuk mengetengahkan dirinya memandangkan di dalam Liga Super Malaysia ramai pemain-pemain berbakat seperti Arif Aiman, Faisal Halim, Akhyar Rashid dan juga Safawi Rashid yang mengisi posisi itu.
Namun, Syakir juga tidak kurang hebatnya apabila kini beliau sudah mengumpul empat gol dan lima bantuan jaringan semenjak mula mengisi kesebelasan utama skuad penyu ketika pertengahan musim berlangsung.
Kini Terengganu bakal menambah lagi satu penting kejohanan dalam calendar tahunan pasukan mereka apabila berada di dalam kumpulan G bersama-sama jaguh dari Australia iaitu Central Coast Mariners, Bali United dari Indonesia dan Stallions yang beraksi di Liga Filipina.
Sememangnya bukan satu musim yang mudah buat anak didik Tomislav yang kini sedang menduduki tangga ke-6 Liga Super dan berada di pusingan suku akhir bagi aksi Piala Malaysia.
Akan tetapi dengan peningkatan prestasi yang ditonjolkan oleh tonggak utama mereka di bahagian sayap ini diharapkan Terengganu dapat menampilkan persembahan yang memberansangkan sekaligus membawa nama Terengganu dan Malaysia agar lebih dikenali.