Malaysia harus bersyukur dapat Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih
Kejayaan Malaysia mengikat dua pasukan yang berada di ranking jauh lebih tinggi iaitu Syria dan China pada perlawanan persahabatan baru-baru ini menunjukkan perkembangan positif dalam skuad kebangsaan negara.
Selepas setahun lebih dibimbing oleh ketua jurulatiih yang berasal dari Korea Selatan, Kim Pan-gon, peningkatan skuad Harimau Malaya yang dirancangan olehnya sudah mula menampakkan hasil.
Dahulu, apabila berdepan pasukan di ranking atas 100, kebiasaannya Malaysia akan bergelut dan ada kalanya tewas dengan jumlah jaringan yang besar, tetapi kini tidak lagi apabila Malaysia dilihat mampu menguasai perlawanan.
Ternyata keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melantik Pan-gon mengendalikan pasukan kebangsaan adalah keputusan yang amat baik.
Di media sosial, netizen Korea Selatan sendiri memuji peningkatan yang ditunjukkan oleh Malaysia di bawah pengurusan Pan-gon.
Ia berbeza dengan skuad kebangsaan mereka kini yang dilihat ke belakang sejak di bawah kendalian Jurgen Klinsmann.
Mereka turut memuji kerja yang dilakukan oleh Pan-gon sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Korea Selatan sebelum meninggalkan badan itu untuk ke Malaysia.
Selepas perlawanan persahabatan baru-baru ini, Pan-gon memberitahu bahawa beliau mahu membawa Malaysia naik ke ranking 100 terbaik dunia.
Kali terakhir Malaysia berada di kelompok 100 terbaik dunia adalah pada tahun 1998, iaitu 25 tahun lalu.
Dalam tempoh lebih setahun setengah menjadi ketua jurulatih negara, Pan-gon telah banyak membuat perubahan ke dalam skuad kebangsaan, bukan Sahaja dari segi taktikal dan teknikal, tetapi juga dari segi pengurusan pasukan itu sendiri.
Skuad Harimau Malaya dan peminat bola sepak tempatan sebenarnya begitu beruntung dan seharusnya berterima kasih atas kerja keras yang dilakukan oleh Pan-gon dalam melakukan perubahan terhadap pasukan negara.
Teruskan memberi sokongan kepada skuad negara dalam menghadapi dua kejohanan penting selepas ini iaitu Kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan bermula November ini serta Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan.