E. Elavarasan akan jalankan latihan berperingkat bagi mempersiap pasukan sebelum ke Piala Asia B-23 tahun depan
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, E. Elavarasan memberitahu tempoh enam bulan akan datang ini beliau akan membuat perancangan latihan secara berperingkat bagi mempersiapkan pasukan sebelum menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar pada tahun depan.
Menurut Elavarasan, beliau dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menghubungi pihak kelab untuk meminta kerjasama melepaskan pemain-pemain untuk kem latihan yang akan diadakan nanti.
“Ya memang pemain-pemain akan terlibat dengan kelab tapi kita akan minta pertolongan dari kelab untuk melepaskan pemain untuk menyertai kem latihan yang akan dilakukan secara berperingkat.
Dengan latihan berperingkat ini kita akan dapat bentuk sebuah pasukan yang ampuh seperti yang kita buat sebelum ini kerana kita tiada masa untuk buat latihan kecuali waktu kalendar FIFA,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas skuad Harimau Muda bimbingannya berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 selepas menjadi empat pasukan naib juara kumpulan terbaik dalam pusingan kelayakan yang berlangsung di Chonburi, Thailand baru-baru ini.
Dalam pada itu, pengurus pasukan iaitu Dato’ Sri Shahril Mokhtar juga berkata pihaknya akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persiapan pasukan sebelum kejohanan berlangsung.
“Tempoh enam bulan tidak lama, jadi kita FAM akan berbincang dengan MFL (Malaysian Football League) dan kelab-kelab untuk dapatkan pelepasan pemain kerana majoriti pemain dalam skuad B-23 merupakan pemain yang kerap diturunkan dalam saingan Liga Super jadi ia akan menjadi sedikit masalah tapi kita harap kelab-kelab akan beri sokongan.
Berkenaan dengan perlawanan persahabatan kita akan cari jalan supaya kita adakan beberapa perlawanan kompetitif, tapi kita kena tunggu undian kumpulan terlebih dahulu sebelum mengatur perlawanan persahabatan.”
Sementara itu, Shahril Mokhtar juga menyuarakan hasratnya untuk mendapatkan khidmat Arif Aiman, Feroz Baharudin dan Ramadhan Saifullah bagi memperkuatkan pasukan di Piala Asia B-23 nanti.
“Saya selalu berbincang dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin saya kata, setiap kali ada panggilan saya akan tanya Arif Aiman boleh panggil ke, Feroz boleh panggil ke, Ramadhan boleh panggil ke?
Jadi terpulang kepada pucuk pimpinan. Macam kami (dan Elavarasa) bila ada sahaja pemain, kami akan buat kerja. Tapi saya berharap dan berdoa April nanti kalau ada rezeki kita dapat pemain ini kerana mereka akan dapat bantu pasukan. Jadi sama-sama kita berdoa.”