Cak Sport Academy sudah lahirkan ramai atlet di Sekolah Sukan Malaysia dan juara dunia – Coach Cak

853

Tidak ramai yang tahu terdapat sebuah akademi olahraga tempatan yang memfokuskan kepada pembangunan produk akar umbi di sekitar Lembah Klang dan sehingga hari ini telah ramai yang berjaya bahkan menjadi juara dunia.

Pengasas Cak Sports Academy, Abas Bin Kassim memberitahu bahawa sepanjang penubuhan mereka semenjak tahun 2016 lebih daripada 10 orang penuntut yang telah berjaya memasuki Sekolah Sukan di Malaysia.


“Produk yang kita sudah lahirkan sehingga hari ini sudah melebihi 200 orang tapi untuk pengetahuan semua, kami sudah hasilkan atlet yang berbakat lebih daripada 10 orang telah memasuki Sekolah Sukan Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu juga, pada tahun 2018 seorang penuntut muda yang baru sahaja berumur 7 tahun ketika itu telah berjaya menjadi juara dunia dalam Kejohanan Dunia Pushbike di Colorado, Amerika Syarikat.

“Dalam akademi ini juga kita telah berjaya melahirkan anak Malaysia yang paling muda berusia 7 tahun ketika itu menjadi juara dunia dalam kejohanan di Colorado, Amerika Syarikat,”

Beliau yang mahir dalam multilateral development training berobjektif mahu melahirkan bakat-bakat muda yang cergas dan mampu menjadi atlet negara pada satu hari nanti selain memberi pendedahan buat ibu bapa di luar sana tentang kepentingan hidup anak-anak mereka untuk kekal cergas.

“Objektif utama di Cak Sport Academy ini adalah untuk membantu ibu bapa untuk meningkatkan kecergasan anak-anak mereka dalam sukan dan pada masa yang sama kita juga disini menggilap bakat mereka ini dalam sukan yang mereka ceburi seperti yang saya bagitahu bahawa kita berkonsepkan multilateral development training,”

Abas atau lebih dikenali sebagai coach Cak turut berkongsi pada awalnya beliau tidak ditaja oleh mana-mana pihak dan hanya menggunakan duit poket sendiri dan berbekalkan pengalaman yang dimilikinya semasa berkhidmat di Sekolah Sukan Kuala Lumpur.

“Jujur saya cakap tiada sebarang tajaan daripada mana-mana pihak, kita sudah anjurkan tiga kejohanan bertaraf antarabangsa tapi semua itu menggunakan duit kami sendiri akan tetapi ada jugalah individu-individu yang bersedekah dan jika ada pun hanyalah sumbangan kawan saya daripada Dubai kalau di sini tiada lagi yang kami terima.”

Bagi mereka yang menginginkan anak-anak mereka cergas dan mahir dalam aktiviti sukan Cak Sport Academy menyediakan dua peringkat latihan beserta yuran yang berpatutan.

Untuk maklumat lanjut boleh mulakan carian terus di Facebook, Tiktok, dan Instagram Cak Sport Academy.