Lima wakil Malaysia terpilih sebagai pegawai perlawanan pada Piala Asia 2023

208

Menjelang saingan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari tahun depan, seramai 74 pegawai perlawanan telah dipilih bagi memastikan temasya itu berlangsung dengan jayanya.

Seramai 35 pengadil dan 39 pembantu pengadil daripada 18 negara telah terpilih berdasarkan kelayakan mereka yang telah ditunjukkan sejak beberapa tahun sebelum ini.


Edisi kali ini juga akan menyaksikan buat pertama kalinya teknologi VAR digunakan secara menyeluruh sejak daripada peringkat kumpulan lagi, berbanding peringkat suku akhir pada edisi lalu.

Antara 74 pegawai yang terpilih itu, seramai lima wakil dari Malaysia yang terpilih untuk mengadili perlawanan di kejohanan bola sepak terbesat Asia itu.

Mereka adalah Subkhiddin Mohd Salleh yang terpilih sebagai salah seorang daripada pakar teknikal, Ravichandran Chappanimutu (jurulatih kecergasan), Muhammad Nazmi Nasaruddin (pengadil), Mohamad Zairul Khalil Tan (pembantu pengadil) dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid (pembantu pengadil).

Ini pastinya satu kebanggaan buat diri mereka sendiri apabila terpiliih dalam kejohanan berprestij itu, selain satu kebanggan buat negara dan membuktikan bahawa Malaysia juga mempunyai pengadil berkualiti yang menjadi pilihan untuk mengendalikan kejohanan besar.

Selain daripada lima pengadil dari Malaysia, peminat tempatan pastinya akan memberi tumpuan kepada pengadil dari Jepun, Iida Jumpei yang pernah terlibat dalam kontroversi ketika mengadili perlawanan melibatkan Malaysia.

Ia apabila beliau dilihat berat sebelah apabila mengendalikan perlawanan antara skuad B-22 negara menentang skuad B-22 Vietnam pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Pada perlawanan itu, beliau melayangkan dua kad merah kepada pemain negara, selain menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam walaupun bola yang terkena tangan pemain negara ketika itu jelas tidak disengajakan.

Justeru, beliau pastinya akan menjadi tumpuan sekiranya dipilih untuk mengendalikan perlawanan melibatkan pasukan Malaysia.

Bukan itu saja, pengadil-pengadil Jepun lain juga pastinya menjadi tumpuan sekiranya dipilih untuk mengendalikan perlawanan Malaysia kerana pengadil dari negara itu mempunyai reputasi yang kurang baik apabila mengadili perlawanan Malaysia.

Dalam pada itu, pada Piala Asia 2023, seramai enam pegawai wanita telah dipilih buat kali pertama untuk kejohanan ini, satu perkembangan yang baik untuk pengadil-pengadil wanita di luar sana.

Mereka membuktikan bahawa pengadil wanita juga mempunyai kualiti sebaik pengadil lelaki dan layak diberi kepercayaan untuk mengendalikan kejohanan sebesar Piala Asia.