VAR bukan untuk selesaikan semua masalah – Subkhiddin Mohd Salleh

124

Subkhiddin Mohd Salleh akui kehadiran Video Assistant Referee (VAR) ke dalam kancah Liga Super Malaysia sangat membantu namun beliau juga mengingatkan bukan setiap masa pengadil perlu bergantung kepada teknologi ini.

Subkhiddin yang ditemubual memberitahu VAR bukan sesuatu yang mampu menyelesaikan segala masalah berlaku diatas padang dan pengadil itu sendiri seharusnya memainkan peranan penting dalam membuat keputusan.


“Kehadiran VAR ini menunjukkan satu perkembangan yang baik tetapi dengan satu peringatan yang penting perlu adalah datangnya VAR hari ini bukanlah satu teknologi yang boleh menyelesaikan segala masalah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau turut menjelaskan bahawa VAR ini hanya boleh digunakan pada masa-masa tertentu sahaja seperti melibatkan kesalahan subjektif yang memerlukan pengesahan kejadian misalnya dalam pemberian penalti kepada pemain yang dikasari.

“Kita perlu tahu konsep penggunaan VAR itu sendiri yang mana ia hanyalah sebagai intervene kepada pengadil untuk beberapa faktor yang subjektif terutamanya sebagai contoh dalam pemberian penalti oleh pengadil yang mana mereka perlukan kepastian samada ia menjejaskan pemain sehingga boleh diberikan penalti atau tidak,”

Seawal pengenalan VAR dahulu antara perubahan yang ketara dalam pengadilan bola sepak adalah penentuan posisi offside dan ia diklasifikasikan sebagai salah satu factual foul dalam bola sepak.

Menurut Subkhiddin sendiri VAR menjadi pembantu terbaik pengadil apabila melibatkan keputusan offside semasa perlawanan berlangsung.

“Selain itu, VAR ini antara impak yang baik dan sempurna dalam perlawanan adalah ketika pemain melangkaui garisan offside,”

“Sekiranya kita dapat melaburkan sedikit wang dalam VAR bagi mendapatkan teknologi garisan offside itu sangat baik, pihak penyiaran juga ada menyediakan garisan untuk menentukan offside tetapi ia tidak terlalu kalkulatif,”

Subkhiddin yang turut memantau perjalanan Liga Super Malaysia musim ini akui bahawa dengan kehadiran VAR musim hadapan akan banyak membantu terutama untuk mengelakkan insiden-insiden yang tidak diinginkan berlaku.

“Berdasarkan pengalaman dan kualiti insiden yang berlaku dalam Liga Super Malaysia kebelakangan ini, saya yakin VAR dapat digunakan dengan baik.”