Kalendar Liga Malaysia akan diubah selari dengan kalendar AFC bermula musim depan – Stuart Ramalingam
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mengakui bahawa kemungkinan besar akan ada perubahan kalendar Liga Malaysia untuk selari dengan kalendar Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC).
Beliau berkata, ia juga adalah untuk memastikan supaya jendela perpindahan Liga Malaysia selari dengan liga-liga Asia dan antarabangsa dunia.
“Untuk musim depan, kita sedang buat perbincangan dalaman dan sudah berbincang dengan kelab-kelab serta PFAM untuk pastikan kalendar kita selari dengan kalendar AFC, ia juga untuk memastikan jendela perpindahan Liga Malaysia selari dengan liga-liga Asia dan antarabangsa.
Jadi apa bila transisi dilaksanakan nanti, kita mungkin akan mempunyai musim yang terdiri dari dua tahun bermula musim 2024/25, saya akan buat pengumuman tidak lama lagi selepas perbincangan diadakan dengan pemegang taruh,”
katanya.
Katanya, perubahan itu dirancang selepas mengambil kira terdapat kejohana-kejohanan seperti Piala Asia 2023, AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC yang akan memberi kesan kepada kalendar Liga Malaysia.
Jelasnya, untuk memastikan tempoh rehat para pemain cukup, terutamanya untuk pasukan kebangsaan sama ada senior dan bawah umur, pihaknya akan memastikan kalendar Liga Malaysia musim depan mengambil kira kejohanan yang akan disertai skuad negara.
“Kita juga melihat keperluan untuk menganjakkan kalendar Liga Malaysia mengikut kalendar AFC untuk selarikan tempoh rehat bagi memastikan prestasi pasukan kebangsaan termasuk bawah umur, serta pasukan yang akan bersaing dalam ACL dan Piala AFC berada dalam keadaan yang baik.
Untuk ini kita juga sedang buat kajian kerana kita tahu ada perbezaan cuaca dan konteks tempatan yang perlu diambil kira.”