MFL serius hadapi isu bayaran tertunggak, tak mustahil Kelantan terima nasib seperti Melaka, Sarawak United – Stuart Ramalingam
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam tidak menolak Kelantan FC akan menerima nasib yang sama seperti Sarawak United dan Melaka United sekiranya tidak menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi.
Katanya, MFL amat bertegas dalam isu ini untuk memastikan integriti dan kestabilan Liga Malaysia sentiasa dijaga untuk semua kelab.
“Musim lalu MFL sudah buat keputusan untuk pastikan dua pasukan (Melaka United dan Sarawak United) yang mempunyai masalah tidak menerima lesen, di sini tanpa memberi indikasi bahawa Kelantan bermasalah ataupun tidak kerana tempoh untuk menghantar dokumen baru tutup hari ini, kita mahu Kelantan tahu bahawa MFL serius menghadapi isu bayaran tertunggak.
Kita harap Kelantan boleh selesaikan perkara ini kerana musim lalu mereka tidak bermasalah tetapi tahun ini ia berlaku, sekatan lesen adalah tindakan terakhir dan bila perlu,”
katanya.
Stuart berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kelantan dan pasukan-pasukan lain untuk membantu apa yang diperlukan bagi menyelesaikan apa-apa masalah yang timbul.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) dan Financial Fair Play (FFP) sedang dibincang oleh pihaknya untuk dilaksanakan dalam Liga Malaysia, seperti saranan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Seperti yang katakana oleh TMJ mengenai implementasi ECP dan FFP yang perlu dilaksanakan di peringkat tempatan, satu kajian dalaman sedang dijalankan di peringkat dalaman MFL untuk memastikan kami juga membawa satu sistem hybrid yang perlu kita ambil untuk Liga Malaysia.
Apa yang disebut oleh baginda adalah betul mengenai keperluannya, bukan sekatan perbelanjaan kepada pasukan-pasukan tetapi perbelanjaan secara berhemah untuk memastikan tiada isu pada masa hadapan.”
Katanya, dengan permulaan kalendar Liga Malaysia yang dijangka lebih lewat pada musim depan, pihaknya akan membuat pengumuman mengenai ECP dan FMP pada awal tahun depan.