Isu tunggakan gaji yang sinonim dengan Liga Malaysia kini berjangkit ke negara jiran

166

Isu tunggakan pembayaran gaji boleh dikatakan adalah sesuatu perkara yang biasa dalam saingan Liga Malaysia, kerana setiap musim pasti ada kelab yang culas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka itu.

Kini, kelab daripada negara jiran, Indonesia juga turut mengalami masalah sama selepas satu video yang menunjukkan ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares mahu menjual barangnya untuk membantu membayar gaji pemain dan staf kelab.


Barang yang berharga yang mahu dijualnya adalah baju polo dan trofi jurulatih terbaik yang dimenanginya musim lalu kepada pembida tertinggi.

Selepas menjadi juara Liga 1 Indonesia musim lalu, tiada siapa yang menyangka PSM Makassar akan menghadapi masalah seperti itu walaupun barisan pemainnya terdiri daripada ramai pemain muda daripada akademi kelab.

Ia dilihat sebagai satu tamparan hebat buat pasukan itu yang bakal menghadapi saingan Piala AFC musim ini, diundi bersama-sama pasukan Sabah FC dalam Kumpulan H.

Sudah pasti situasi ini memberi kesan dari segi motivasi para pemain, sekaligus mempengaruhi permainan mereka di atas padang.

Bagi Sabah pula, mereka harus menjadikan situasi ini sebagai satu kelebihan buat mereka.

Namun, ini bukanlah kali pertama PSM Makassar ditimpa ujian seperti ini kerana pasukan itu sebelum ini mempunyai pelbagai kesukaran termasuk tidak memiliki stadium dan terpaksa bergerak jauh setiap kali hari perlawanan.

Walaupun begitu, mereka tetap berjaya memberi cabaran pada musim lalu sehingga bergelar juara Liga 1.

Justeru, situasi yang menimpa PSM Makassar ini mungkin memberi kekuatan tambahan buat mereka untuk membuktikan sesuatu pada kempen Piala AFC kali ini.