Anak saya dari kosong tidak tahu apa-apa kini dah boleh jaringkan gol – Izerin Mazlan

403

Rata-rata ibu bapa yang menghantar anaknya untuk berlatih di Akademi Zer09 yang bertapak di Larkin, Johor Bahru berpuas hati dan melihat masa depan yang cerah buat anak-anak mereka dalam sukan bola sepak.

Akademi yang memiliki lebih 200 orang pemain cilik di sekitar Johor Bahru itu mendapat kepercayaan penuh para ibu bapa apabila ada di antara mereka yang melihat perubahan ketara dalam tempoh beberapa bulan dan ada juga ibu bapa gembira anaknya meraih pelbagai kejuaraan.


Menurut Izerin Mazlan yang merupakan ibu kepada salah seorang peserta akademi Zer09 memberitahu anaknya yang tidak mempunyai apa-apa kemahiran atau pengetahuan dalam sukan bola sepak dengan hanya beberapa bulan sahaja berjaya meraih pelbagai pencapaian termasuklah menyertai kejohanan antarabangsa.

“Saya paling bangga dengan anak saya adalah apabila pasukannya yang bermain di Johor Cup mendapat tempat keempat keseluruhan sebab daripada anak saya tidak tahu apa-apa tentang bola dalam masa singkat banyak perubahan selepas berlatih di Zer09,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu juga menurutnya lagi, anaknya iaitu Aryan Ardani sebelum ini pernah menyertai akademi lain namun ia tidak berhasil disebabkan anaknya terpaksa berkongsi latihan dengan pemain-pemain yang sudah mahir manakala Aryan tiada sebarang pengalaman bermain bola sepak.

“Mula-mula saya dah cuba di akademi lain sebenarnya, tetapi akademi tersebut dia untuk budak-budak yang berkemahiran manakala anak saya ini jadi takut apabila bermain dengan mereka disebabkan dia seorang sahaja yang tidak pandai,”

Seterusnya menurut bapa kepada tiga orang anak iaitu Rahman Atan memaklumkan sepanjang ketiga-tiga anaknya berlatih di Akademi Zer09 sudah banyak kejuaraan yang diraih oleh mereka selain salah seorang anaknya juga diterima untuk memasuki Akademi Tunas Johor.

“Jurulatih dekat sini memang terbaik boleh latih para pemain muda sehingga banyak kejuaraan dan ntara pencapaian anak saya dekat sini adalah berjaya merangkul Johor Cup selain terpilih untuk menyertai Akademi Tunas Johor,”

Selain daripada penduduk setempat, Zer09 turut mengambil peserta daripada luar untuk menyertai sesi latihan mereka.

Osamu Masugata dari Jepun merupakan salah seorang bapa yang menghantar anak-anaknya menghadiri sesi latihan di Zer09 disamping menyifatkan akademi tersebut memiliki kepakaran dalam melatih pemain-pemain yang muda.

“Akademi Zer09 merupakan salah satu tempat latihan yang baik yang mana jurulatih di sini pandai mengendalikan pemain-pemain muda selain bentuk latihan yang diterapkan sangat sistematik,”

Osamu yang turun ke Johor atas urusan pekerjaan tidak sengaja terjumpa Akademi Zer09 di atas talian selain terkejut dengan kemampuan pemain-pemain cilik tempatan yang rata-rata mempunyai bakat dalam bola sepak apabila setibanya beliau di akademi tersebut.

“Dalam akademi ini mereka mempunyai latihan fizikal yang baik, saya sangat terkejut apabila ramai pemain kanak-kanak yang mempunyai bakat di sini dan saya gembira anak saya berpeluang bermain di akademi ini.”