Mereka yang datang ke Akademi Zer09 bukan pemain berbakat – Yusrizal Yunus

253

Pengasas merangkap jurulatih Akademi Zer09, Yusrizal Yunus mahu melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti menggunakan metodologi latihan moden yang dipraktikkan dalam Sains Sukan.

Yusrizal atau turut dikenali sebagai Coach Perak memberitahu bahawa kebanyakan pemain yang mendaftar di Akademi Zer09 adalah kosong dan tiada sebarang pengetahuan serta kemahiran dalam bola sepak.


“Misi Zer09 adalah untuk melahirkan pemain-pemain yang berkualiti mengikut sistem latihan moden dalam Sains Sukan yang mana corak latihan yang dilakukan agak singkat akan tetapi memberikan impak yang berkualiti,”

“Perlu diingatkan juga yang datang ke Akademi Zer09 ini bukan pemain yang berbakat sebab itu dinamakan Zero to Hero,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu juga, beliau yang sehingga kini sudah menerima lebih daripada 200 peserta memberitahu bahawa Zer09 telah menjadi antara akademi gergasi di peringkat grass roots yang menyebabkan ramai ibu bapa mula mempercayai kebolehan mereka melatih kanak-kanak bermain bola sepak.

Pemain-pemain Johor Darul Ta’zim turut menghantar anak-anak mereka ke akademi ini seperti Farizal Marlias, Fernando Forestieri dan Aidil Zafuan.

“Kalau kita lihat sebenarnya Akademi Zer09 ini antara salah satu nama besar bagi akademi di peringkat grass roots dalam negeri Johor, selain daripada itu mereka juga mungkin tertarik apabila melihat sistem perlawanan di mana mereka bermain dan corak permainan yang matang ditampilkan oleh pemain-pemain yang berlatih di Akademi Zer09 ini,

Menjengah ke ruangan piala, sememangnya tidak disangkal lagi kemahiran Zer09 dalam melatih pemain-pemain muda sehingga berjaya meraih pelbagai kejuaraan di dalam dan luar negeri Johor termasuk juga peringkat antarabangsa

Menurut Yusrizal sendiri, kanak-kanak perlu dilatih untuk mengasah kemahiran motor mereka sejak diusia muda terutama untuk berhadapan dengan bola ketika di atas padang yang mana mereka perlu fokus dan yakin.

“Latihan-latihan yang kita buat di sini adalah untuk melatih mereka dari segi kemahiran motor yang berkait dengan keyakinan, fokus, kestabilan dan kekuatan pemain tersebut,”

Beliau turut berharap agar para pemainnya berjaya meraih pelbagai kejuaraan di masa hadapan di samping berjaya meneruskan kemaraan untuk bermain di peringkat antarabangsa.

“Ini merupakan program jangka masa panjang bagi saya yang mana kita ingin lahirkan pemain berkualiti dan dengan adanya latihan yang berkualiti ini diharapkan pemain-pemain saya dapat meneruskan kemaraan mereka sehingga peringkat yang lebih tinggi.”