KL City FC bakal berdepan jalan berliku di Piala AFC
Saingan Piala AFC musim 2022 kali ini akan menyaksikan dua pasukan dari Malaysia iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan mewakili Malaysia.
Kedah telah diundi dalam kumpulan G manakala KL City pula diundi dalam kumpulan H bersama Tampines Rovers FC (Singapura), PSM Makassar (Indonesia) dan sebuah lagi pasukan dari Myanmar iaitu samada Shan United atau pun Ayeyawady United.
Walaupun kumpulan H boleh dikatakan tidak sengit seperti kumpulan G, namun ia mempunyai pasukan-pasukan yang agak menarik.
Pasukan PSM Makassar merupakan pasukan pilihan berikutan mereka merupakan juara Piala Indonesia pada tahun 2018-2019.
Walaupun mereka menduduki tangga ke-12 Liga 1 Indonesia, namun mereka telah layak ke separuh akhir di Piala AFC 2019 Zon ASEAN.
Biarpun rekod semasa mereka tidak cemerlang, namun PSM Makassar mempunyai sejarah yang lama di saingan AFC Champions League (ACL) dan juga di Piala AFC dengan pencapaian terbaik mereka layak ke separuh akhir ACL pada tahun 2000-2001 dan suku akhir Asian Cup Winner’s Cup pada 1997-1998.
Selain PSM Makassar, sebuah lagi pasukan iaitu Tampines Rovers juga merupakan antara pasukan pilihan yang diramal mampu melepasi peringkat kumpulan.
Pasukan dari Singapura ini antara pasukan paling banyak pengalaman dalam saingan ACL dalam kumpulan H ini, jadi tidak hairanlah pasukan dari Kota Singa ini menjadi pilihan utama untuk layak ke peringkat seterusnya.
Manakala satu slot lagi pula akan membabitkan pasukan dari Mynmar di antara Shan United atau pun Ayeyawady United yang mana kedua-dua pasukan ini turut mempunyai pengalaman dalam saingan Piala AFC sebelum ini.
KL juga mempunyai pengalaman beraksi di peringkat Asia dari tahun 1987 hingga 1995, namun pasukan The City Boys bukanlah pasukan pilihan dalam kumpulan ini.
Perkara ini juga diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif KL City, iaitu Stanley Bernard yang turut mendedahkan pasukannya belum bersedia untuk bersaing di Piala AFC.
Terdahulu, KL melayakkan diri ke Piala AFC selepas mengejutkan ramai apabila menumpaskan juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini.
Walaupun berjaya tumpaskan gergasi Liga Malaysia, namun KL masih ketinggalan untuk bersaing di peringkat tertinggi seperti pentas Asia.
Perjalanan pasukan KL sepanjang musim lalu tidaklah mudah apabila mereka menduduki di tangga keenam liga, namun ia satu pencapaian yang agak baik berikutan pada musim lalu mereka kembali naik ke Liga Super.
Selain merangkul trofi Piala Malaysia, skuad kendalian Bojan Hodak turut berjaya meraih beberapa gelaran individu yang mana Romel Morales muncul sebagai penjaring terbanyak, Paulo Josue pula menjadi penyumbang assist terbanyak dan Kevin Ray Mendoza menang clean sheets terbanyak.
Ketika ini pasukan ini sudah pun mula membuat persiapan bagi mengharungi musim 2022 dan telah menandatangani beberapa pemain baru seperti Azri Ghani, Nabil Hakim, Nik Umar, Muhammad Faudzi dan beberapa lagi.
Mereka dilaporkan tidak akan menambah pemain import baru sebaliknya melanjutkan kontrak empat pemain import mereka iaitu Kevin Ray Mendoza, Giancarlo Gallifuoco, Paulo Josue dan Romel Morales.
Biarpun tidak dibarisi pemain-pemain bintang, namun konsistensi dan keserasian antara pemain-pemain KL dijangka mampu memberi saingan sengit pada musim ini dan tidak mustahil untuk mereka berada pada kedudukan Top 5 Liga Super.
Manakala untuk saingan Piala AFC pula, peluang untuk mereka melepasi peringkat kumpulan agak terbuka sekiranya mereka terus mempamerkan prestasi cemerlang seperti di saingan Piala Malaysia.
Jika mereka mampu mengutip mata dalam setiap perlawanan dalam kumpulan H, tidak mustahil KL akan cipta satu lagi kejutan sekiranya layak ke peringkat seterusnya.