Kami kalah pada 5 minit terakhir, inilah bola sepak! Tahniah Selangor – Juan Miguel Munoz

248

Ketua jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim IV (JDT IV), Juan Miguel Munoz terpaksa akur apabila pasukannya tewas kepada Selangor FC pada perlawanan akhir Piala Belia 2023 yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.

Menurut Munoz, biarpun tewas beliau tetap berbangga dengan persembahan pemain-pemainnya yang bermain dengan cukup baik pada malam tadi.


“Saya bangga dengan pasukan saya yang bermain bermati-matian sehingga ke tamat perlawanan.

Kami kalah di lima minit terakhir tapi inilah bola sepak, ia adalah sebahagian daripada proses dan mereka masih muda pastinya mereka dapat menjadikan perlawanan akhir ini sebagai pengajaran.

Selangor sebuah pasukan yang baik dan kita rugi kerana tidak manfaat peluang ketika bermain di tempat sendiri, tapi seperti yang saya katakan tadi inilah bola sepak. Mereka menang kerana mereka lebih baik,”

katanya.

Kedua-dua pasukan turun beraksi dalam perlawanan akhir kedua dengan skuad Gergasi Merah memperlihatkan dominasi mereka untuk menewaskan Harimau Selatan dengan agregat 4-3.

Dalam pada itu, Munoz berharap agar format saingan liga Piala Belia dan dirombak supaya pemain-pemain mendapat lebih banyak perlawanan kompetitif.

Ini kerana beliau berkata pemain-pemain di peringkat muda perlukan sekurang-kurangnya 30 perlawanan kompetitif setiap musim.

“Pada pandangan saya mereka perlu tukar format kerana mustahil untuk bermain hanya 17 perlawanan sahaja dan bermain di perlawanan akhir kerana bagi pemain muda seperti mereka ia tidak bagus.

Ini kerana pemain-pemain muda seperti mereka perlu bermain sekurang-kurangnya 30 ke 34 perlawanan kompetitif setiap musim seperti di Sepanyol, Brazil, Itali dan liga-liga lain.”

Tambahnya lagi, saingan Piala Belia sepatutnya menggunakan format saingan liga biasa dengan perlawanan home dan away.