Bermain boling padang sejak umur 10 tahun dan sudah tiga kali sertai SUKMA – Muhd Ramadan
Pemain boling padang negeri Sarawak, Muhd Ramadan ingin lebih ramai orang menyertai sukan ini sekaligus melahirkan bakat-bakat baharu untuk negeri masing-masing.
Baru-baru ini ramai yang mula mengenali sukan boling padang ini apabila dua orang atlet boling padang wanita negara berjaya meraih gelaran dunia dalam sukan tersebut.
Menurut Ramadan, beliau sudah bermain boling padang sejak berumur 10 tahun selain berjaya menyertai tiga edisi Sukan Malaysia (SUKMA) bagi acara boling padang ini.
“Saya mula bermain boling padang pada umur 10 tahun dan sudah sertai tiga kali SUKMA iaitu di Perak, Kuala Lumpur dan tahun hadapan di Sarawak,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Mahsuri Cup yang mana salah satu acara penting dalam kalendar kejohanan boling padang negara menjadi medan pertempuran buat para pemain baik tempatan dan juga antarabangsa.
Ramadan yang turun mewakili negeri Sarawak akui tidak mempunyai sebarang sasaran untuk memenangi kejohanan kali ini sebaliknya mahu meraih lebih banyak pengalaman daripada pasukan lain.
“Sasaran saya di Mahsuri Cup tidak terlalu tinggi cuma saya mahu tingkatkan prestasi selain menyesuaikan diri dengan pasukan-pasukan lain,”
Memandangkan beliau masih muda, Ramadan menganggap pingat gangsa pertamanya di SUKMA Kuala Lumpur tahun lalu sebagai salah satu pencapaian terbaiknya sepanjang mengikuti pertandingan sukan Lawn Bowl ini.
Beliau turut berharap suatu hari nanti akan ada lebih ramai individu atau kelompok masyarakat yang sedar dengan kehadiran sukan ini.
“Penyertaan terbaik saya pada tahun lepas apabila memperoleh pingat gangsa dalam acara Four’s lelaki dan saya rasa itu adalah pencapaian yang membanggakan disebabkan prestasi dan sasaran kesemuanya lepas,”
“Harapan saya untuk lima tahun akan datang adalah saya harap akan lebih ramai penyertaan dalam kalangan rakyat tempatan agar lebih ramai tahu tentang boling padang ini adalah salah satu sukan yang mereka boleh cuba dan mewakili negeri serta negara.”