Ramai pemain yang berjaya dan ada juga bermain di Sepanyol – Henry Okoli

351

Pengasas Johor Bahru International (JBI) sports club, Henry Okoli jelas membuktikan bahawa kelab mereka mempunyai pemain-pemain yang berkualiti sehinggakan berjaya melahirkan pemain yang kini berada di kelab-kelab eropah.

Menurut Henry sendiri, para pemain yang berlatih dan bermain di JBI sememangnya mempunyai kualiti tersendiri dan beliau turut memberitahu setiap pemain yang mengikuti mereka dan berkembang menjadi pemain yang baik, para pemain tersebut berhak untuk keluar dan bermain di mana yang mereka mahu.


“Kita mempuyai pemain-pemain yang berkualiti dan boleh bermain di peringkat yang lebih tinggi yang mana salah seorang pemain iaitu ketua pasukan kami yang sudah pergi ke Sepanyol dan ada banyak lagi pemain kami yang berjaya di luar sana bersama pasukan Kuala Lumpur dan Selangor FC contohnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada awal pembukaan pasukan ini iaitu pada tahun 2015, Henry yang ketika itu bersama rakannya iaitu Jonny Klepsvik bersama-sama membina JBI dengan misi mendekatkan bola sepak dengan masyarakat setempat namun tahun demi tahun visi mereka semakin luas dan ingin menjadi sebuah pasukan yang kompetitif.

“Saya kenal beliau semasa saya bermain dalam bola sepak sosial di sini dan semasa itu beliau bermain bola selain itu turut mengendalikan pasukannya, semasa saya hadir ke sini beliau nampak saya ada lencana jurulatih selain saya juga sedang menyiapkan kursun kejurulatihan di England ketika itu,”

“Dahulu pada awalnya kami hanya ingin membuka akademi bola sepak untuk semua orang tetapi kini kita ingin menjadi sebuah pasukan yang kompetitif selain menjadi pasukan yang tak terkalahkan,”

Henry yang memiliki lesen kejurulatihan dan pengalaman lebih 10 tahun dalam mengendalikan pasukan bawah umur, remaja dan dewasa tidak mahu memilih peserta dan membenarkan sesiapa sahaja yang ingin menyertai kelab mereka asalkan mempunyai keinginan untuk bermain bola.

“Kami ambil semua pemain yang ingin sertai kami dan kami juga tidak akan bertanya tentang kemahiran atau pengalaman mereka bersama bola sepak sebelum ini,”

Bertapak di negeri pasukan yang mendominasi Liga Super Malaysia kini iaitu Johor Darul Ta’zim, Henry merasakan kancah bola sepak tempatan semakin hari semakin baik disebabkan pengaruh kejayaan yang dibawa kelab JDT itu menjadikan pasukan-pasukan lain meningkatkan daya saing mereka.

“JDT saya boleh cakap satu-satunya pasukan yang berjaya di Malaysia terutama dari sudut penstrukturan kelab mereka yang rapi, pembangunan dan fasiliti semuanya sangat menakjubkan dan saya lihat JDT tidak berfikir untuk esok atau lusa tetapi mereka merangka pelan untuk tahun-tahun mendatang.”

Selain daripada pemain-pemain tempatan, JIB turut melatih beberapa orang anak pemain daripada pasukan JDT seperti anak kepada Esteban Solari iaitu jurulatih pasukan, Fernando Forestieri dan Aidil Zafuan.