Mungkin ada kelab gembira sekadar layak beraksi di Piala AFC, tetapi kami mahu menjadi juara – Abbas Saad
Ketua jurulatih Central Coast Mariners, Abbas Saad memberi amaran awal kepada pencabar di Piala AFC bahawa mereka akan berjuang habis-habisan untuk menjadi juara.
Katanya, beraksi di kejohanan itu adalah satu perkara yang baik buat kelab itu dan bola sepak Australia secara amnya, dan mereka sudah bersedia untuk memberi cabaran kepada semua kelab.
“Beraksi di Piala AFC adalah satu cabaran buat kami, dan ia adalah satu cabaran yang baik untuk kami hadapi, ia satu perkara yang baik buat bola sepak Australia.
Kami di sini bukan sekadar mahu lengkapkan bilangan, kami di sini untuk menang. Mungkin ada pasukan yang gembira dapat layak ke peringkat kumpulan, tetapi bukan kami kerana kami mahu jadi juara kumpulan, dan layak sehingga ke perlawanan akhir,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Mengenai perlawanan pertama menentang Terengganu pada Rabu ini, beliau mengakui bahawa terdapat beberapa pemain yang mampu memberi ancaman buat pasukannya seperti Habib Haroon, Ivan Mamut dan Sony Norde.
Namun, beliau yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya dan tidak risau akan pasukan lawan.
“Terengganu adalah pasukan yang hebat, ancaman paling bahaya mungkin hadir menerusi pemain tengah, Habib Haroon. Selain itu, Ivan Mamut dan Sony Norde juga adalah antara pemain yang baik.
Tetapi saya tidak risau dengan mereka kerana kami juga ada pemain yang baik dan kami datang ke sini untuk menang.”
Abbas mengakui cabaran buat pasukannya untuk mendapatkan momentum memandangkan Liga Australia masih belum bermula ketika ini.
Tetapi beliau tidak mahu menjadikan ia alasan dan bertekad mahu mendapatkan kemenangan sebanyak mungkin dalam Piala AFC sebelum musim baharu liga bermula.