PKBM menyokong nama LTDL ini dikekalkan – Datuk Amarjit Singh Gill

239

Datuk Amarjit Singh Gill yang merupakan Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan yang perlu dibuat untuk menukar nama Le Tour De Langkawi.

Sebelum ini nama LTDL acap kali dipertikaikan disebabkan oleh ketiadaan Langkawi dalam peringkat kayuhan LTDL dalam beberapa edisi yang dianjurkan.


Amarjit menegaskan bahawa tiada sebarang sebab kukuh untuk kejohanan yang sudah berlangsung lebih dua dekad itu untuk membuat perubahan namanya.

“Penjenamaan kepada nama lain ini saya tidak setuju, kerana nama ini sudah dikenali di seluruh dunia, seluruh pasukan mengenali LTDL dan sekiranya kita menukar nama LTDL ini kepada nama lain maka ia akan dimulakan daripada dasar semula,”

“jadi isu untuk menukar nama ini tidak akan timbul dan kami di PKBM menyokong nama LTDL ini dikekalkan,”

katanya.

Khabar angin berkenaan penukaran nama LTDL ini bukan sehari dua sahaja malah sudah kerap diulang oleh badan-badan berkaitan bahawa tiada sebarang perubahan akan berlaku kepada jenama jelajah berbasikal tersebut.

Amarjit yang ditemui semasa sesi pelancaran tajaan Le Tour De Langkawi turut mengesahkan bahawa Datuk Azizulhasni Awang yang baru-baru ini terlibat kemalangan di Velodrom Nasional akibat masalah teknikal di bahagian tayarnya, kembali menjalani latihan sebaik mendapatkan rawatan kecemasan.

Menurut Amarjit, beliau yang risau dengan perkhabaran tersebut terus mendapatkan jurulatihnya iaitu John Beasley bagi mendapatkan maklumat lanjut dan dikatakan Azizul dalam keadaan baik-baik sahaja selain boleh kembali menjalani latihan seperti sedia kala.

“Apabila kita terima berita kemalangan ini saya agak risau dengan keadaan beliau, tetapi selepas bercakap dengan jurulatih saya jadi lega apabila kecederaannya tidak begitu serius dan Azizul telah kembali ke velodrom untuk berlatih,”

Beliau yang ditemui turut memberitahu bahawa segala keputusan dan langkah awal telah diambil oleh pasukannya selain perlepasan Azizul untuk kembali ke Velodrome mungkin di atas persetujuan bersama bersama doktor-doktor yang menguruskan beliau.

“Saya yakin pasukannya sudah menasihatinya apa yang terbaik dan memandangkan beliau sudah dibenarkan untuk kembali melakukan latihan, saya percaya ini merupakan satu keputusan yang menyeluruh daripada pelumba, barisan jurulatih dan juga doktor-doktor.”