Kita mahu berdaftar di bawah Persatuan Negeri Johor – Iqmal Nabil

166

Pengasas dan jurulatih pasukan bola jaring Jmix, Nor Iqmal Nabil memaklumkan dalam tempoh lima tahun kehadapan mereka mahu berada di bawah Persatuan Bola Jaring negeri Johor.

Jmix merupakan sebuah kelab bola jaring yang kini sedang garang menjuarai pelbagai kejuaraan bola jaring di sekitar negeri Johor dan antara pencapaian terbaik mereka adalah memenangi Kejohanan Piala Che Puan Khaleeda.


Menurut Iqmal sendiri mereka mensasarkan untuk berdaftar di bawah Persatuan Bola Jaring Negeri Johor memandangkan prestasi yang ditonjolkan semakin hari semakin memberansangkan di samping mahu beraksi di kejohanan antarabangsa bagi meluaskan lagi penguasaan dan kemahiran mereka.

“Kita punya sasaran dalam beberapa tahun kedepan ini adalah untuk cuba berdaftar di bawah persatuan bola jaring negeri Johor selain kami juga ingin bertanding dalam kejohanan peringkat antarabangsa satu hari nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Di awal penubuhan kelab ini dikatakan tidak ramai yang ingin menyertai mereka disebabkan masih baru dan tidak ada yang memperkenalkan konsep bola jaring untuk lelaki.

Iqmal memberitahu bahawa pada awalnya hanya tujuh orang menyertai kelab ini dan sepanjang tempoh dua tahun mereka bersama sehingga hari ini kelab Jmix berjaya meraih lebih ramai ahli terutama daripada kaum lelaki.

“Objektif penubuhan kita ini adalah untuk memperkenalkan lagi sukan bola jaring ini terutama untuk kategori lelaki sebab ramai orang ingat bola jaring ini hanya untuk perempuan sahaja tetapi sebenarnya lelaki pun ada juga,”

“Bermula pada tahun 2020 kita hanya mempunyai tujuh orang sahaja ahli dan sampai sekarang kita sudah ada 42 orang ahli yang mana 20 orang lelaki dan selebihnya adalah perempuan,”

Pengasas Jmix itu juga memuji langkah yang diambil oleh Che Puan Besar Khaleeda dalam membangunkan sukan bola jaring di negeri Johor dengan mengatur pelbagai cara termasuk untuk memperkasa sukan ini diperingkat akar umbi.

“Perkara ini sangat bagus untuk pembangunan bola jaring negeri johor apabila Che Puan Besar Khaleeda turun sendiri ke kancah bola jaring yang sememangnya memberikan impak yang besar terutama kepada para pemain,”

“Macam sebelum ini ketika di kejohanan Piala Che Puan Khaleeda sendiri ada kategori untuk kanak-kanak berumur enam tahun kebawah dan dari sini sudah kita nampak pembangunan sukan bola jaring negeri Johor ini bermula daripada peringkat akar umbi.”