Buang stigma bola jaring untuk wanita sahaja, sukan ini universal – Raimi Samsudin

50

Pemain pertahanan Jmix bola Jaring, Mohd Raimi Samsudin menegaskan bahawa bola jaring merupakan sebuah sukan yang universal dan lelaki boleh bermain seperti sukan bola sepak yang turut dimainkan bagi kategori wanita.

Raimi yang sudah bermain bersama Jmix sejak dua tahun lalu menjelaskan agak sukar untuk membawa bola jaring ini dekat dengan kaum lelaki disebabkan stigma yang kuat dalam diri mereka mengatakan sukan ini adalah untuk kaum wanita.


“Sukan bola jaring ini tidak tertakluk kepada jantina yang mana sama seperti futsal dan bola sepak memiliki kategori wanita juga dan bagi saya sendiri meskipun sukan ini lebih dominan dimainkan oleh wanita namun sukan adalah universal baik lelaki atau perempuan dua-dua boleh bermain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Namun bukan semua orang menolak untuk mencuba, selepas melihat dan merasai sendiri latihan dalam sukan bola jaring ini sudah ramai pemain-pemain bola jaring lelaki malah ada yang lebih baik daripada pemain wanita.

Menurut Raimi stigma tersebut boleh dihapuskan dengan membawakan sukan bola jaring ini lebih dekat kepada mereka dengan memperkenalkan modul-modul latihan dan memberi peluang merasai sendiri keseronokan bermain sukan ini.

“Tapi apabila kita sudah tunjukkan bola jaring ini universal yang mana mereka sendiri boleh nampak, jadi sebab itu kita adakan latihan dan panggil semua yang nak mencuba untuk main walaupun hanya ada kemahiran asas sahaja,”

“Dan diharapkan dengan pendedahan sebegitu minat untuk bermain itu muncul sendiri dalam diri mereka,”

Beliau juga akui bermain bola jaring ini satu aktiviti yang seronok di samping dapat menyihatkan tubuh badan, pemain bola jaring lelaki ini dapat mempelajari perkara baru selain daripada bermain sukan-sukan yang dimainkan oleh lelaki seperti bola sepak.

“Sebab sukan bola jaring ini dapat menyihatkan badan dan kita juga boleh belajar benda baru selain daripada sukan yang selalu dimainkan oleh orang lelaki.”