Saya hargai Abbas Saad pilih saya pemain paling penting tetapi Terengganu ramai pemain hebat – Habib Haroon
Kapten Terengganu FC, Habib Haroon tidak sabar untuk turun beraksi dalam kejohanan Piala AFC kedua buat dirinya apabila pasukannya menentang Central Coast Mariners esok.
Beliau menghargai komen ketua jurulatih lawan, Abbas Saad yang memujinya sebagai pemain yang paling berbahaya untuk Terengganu namun menegaskan ramai lagi pemain lain yang juga hebat.
“Saya gembira kata-kata yang beliau berikan, ia adalah pujian yang baik dan saya hargai perkara itu.
Kami ramai lagi pemain yang baik dan penting dalam pasukan ini tetapi beliau pilih saya dan saya hargai perkara itu,”
katanya.
Katanya, bermain di kejohanan Piala AFC adalah sangat mengujakan kerana ia adalah pentas yang besar dan mempunyai penonton daripada seluruh dunia.
Tambahnya, rakan-rakannya juga turut teruja untuk beraksi memandangkan sudah lama pasukan itu tidak bertanding dalam Piala AFC.
Beliau berkata persediaan pasukan berada dalam keadaan yang baik dan ia adalah satu perlawanan penting buat mereka.