Wujudnya OSCA Youth Soccer Academy adalah untuk cungkil lebih ramai bakat dari Sabah – Addy Noran
Pengasas OSCA Youth Soccer Academy, Dr. Addy Noran memberitahu beliau menubuhkan akademi bola sepak adalah kerana mahu menaikkan bola sepak di negeri Sabah dengan menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baru.
Menurut Addy, Sabah mempunyai cukup banyak bakat-bakat muda tetapi mereka ini tidak mempunyai platform untuk memperlihatkan kemampuan mereka.
Oleh sebab itu objektif utama mereka adalah untuk mencungkil bakat baru untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi.
“Ya betul, Sabah mempunyai cukup banyak pemain yang berbakat tapi peluang untuk mereka kurang, jadi penubuhan akademi ini untuk membantu cungkil bakat-bakat yang ada di negeri ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Addy berkata akademi OSCA ditubuhkan pada Disember 2022 tetapi hanya mula beroperasi sepenuhnya pada bulan Jun lalu dan walaupun baru berusia tiga bulan tapi mereka kini mempunyai lebih 200 pelatih berusia dari enam hingga 17 tahun.
Tambahnya lagi, pelatih-pelatih di akademinya dilatih oleh jurulatih-jurulatih yang cukup berpengalaman dan mempunyai lesen kejurulatihan.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa akademi OSCA menjadi satu-satunya akademi bola sepak di Sabah yang tidak hanya untuk mengembangkan bakat bola sepak pelatih tetapi turut menyediakan perlindungan kepada mereka.
“Ya memang kita masih baru tapi kelebihan kita adalah menjadi satu-satunya akademi di Sabah yang mengambil insuran untuk pelatih-pelatih.
Walaupun tidak besar, tapi sedikit sebanyak kita dapat membantu sekiranya sesuatu perkara tidak diingini berlaku.”
Sementara itu, biarpun masih baru namun Addy sudah mempunyai perancangan jangka masa panjang yang mana beliau mahu menjalin kerjasama dengan akademi-akademi bola sepak di dalam negara dan juga di luar negara.
“Saya berharap akademi OSCA dapat menjadi salah satu akademi di Malaysia yang boleh melahirkan pemain-pemain yang hebat dan luar biasa untuk diketengahkan.”