Mula-mula agak terasa tidak diberi perhatian, tapi saya faham mobile game lebih popular di Malaysia – d4v41

155

Pemain professional Valorant dari pasukan Paper Rex, Ahmad Khalish Rusyaidee Nordin atau lebih dikenali sebagai d4v41 akur dengan e-sukan di platform komputer peribadi (pc) yang tidak mendapat perhatian di Malaysia.

Beliau mengakui pada mulanya agak terasa kerana tidak diberi perhatian walaupun berjaya beraksi di pentas tertinggi dunia dalam permainan Valorant.


“Mula-mula memang agak terasa ketika layak ke pertandingan dunia di Berlin, saya rasa tiada perhatian diberikan walaupun sudah layak ke pentas paling tinggi dalam permainan Valorant.

Saya rasa media patut fokus juga kepada saya berbanding permainan di telefon bimbit sahaja, tetapi sekarang saya faham dan terima kerana saya tahu permainan telefon bimbit (mobile game) memang lebih popular di sini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang bersama pasukan Paper Rex dari Singapura itu berkata sebagai atlet e-sukan, beliau perlu kekal konsisten dalam setiap pertandingan ataupun beliau berisiko untuk dibuang.

“Prestasi memang sentiasa perlu berada di tahap tertinggi, sekiranya dua atau tiga kejohanan tidak menunjukkan prestasi yang baik, anda boleh dibuang daripada pasukan.”

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan akan memperbanyakkan lagi kejohanan yang melibatkan permainan di platform komputer peribadi di Malaysia, supaya ia lebih berkembang seperti permainan telefon bimbit.

Katanya, ia penting dalam memberikan pendedahan kepada e-sukan di platform itu dalam negara ini.